14 October 2009

Bahana Seks Bebas

Islam melarang penganutnya berzina, iaitu melakukan hubungan seks tanpa nikah. Ia juga melarang seseorang itu bertukar-tukar pasangan dan melakukan hubungan seks secara rambang atau bebas.

Setiap perkara dilakukan akan memberi kesan kepada kehidupan kita. Sehubungan itu, berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara adalah jalan terbaik bagi mengelak menyesal di kemudian hari.

Seks bebas adalah perkara yang wajib dielak, sebab itu agama melarang keras kerana dalam perspektif perubatan moden diakui bahawa amalan seks bebas boleh mendatangkan kemudaratan.

Saya menerima banyak persoalan daripada lelaki melakukan seks rambang mengenai kesan dihadapi mereka.

Hakikatnya ialah, gejala atau kesan daripada hubungan seks rambang sukar diduga, terutama jika hubungan itu tidak dirancang.

Kajian menunjukkan hubungan seks mudah berlaku apabila lelaki dan wanita dalam keadaan berdua-duaan dan ketika itu mereka tidak terfikir apa juga kesan daripada tindakan yang bakal dilakukan.

Kebanyakan mereka melakukan perbuatan itu dengan orang yang mereka kenali dan biasanya tidak terlintas dalam minda mereka yang si dia mungkin membawa jangkitan.

Bagi lelaki, jika anggota sulit mengalami kesakitan dan lendir seperti air mazi keluar dari salur kencing selepas melakukan persetubuhan, dia berkemungkinan dihidapi penyakit kelamin.

Jika tidak menggunakan kondom, kondom digunakan bocor, terlucut atau koyak, ada kemungkinan terkena jangkitan. Jika cecair kekuningan keluar dalam masa 24 jam selepas melakukan hubungan seks, kemungkinan terkena jangkitan Gonorhea.

Bagaimanapun, jika lendir yang keluar itu berlaku beberapa minggu kemudian dan ia keluar sedikit atau hanya kelihatan tanda di dalam seluar dalam, kemungkinan ia jangkitan kuman Virus Chlamydia.

Jika menghidap jangkitan itu, ada kemungkinan ia boleh merebak ke buah zakar dan mengakibatkan keradangan buah zakar. Jika ia merebak ke pundi prostat, keradangan prostat boleh berlaku.

Saya ingin mengingatkan yang andainya jangkitan dan virus itu disebarkan kepada wanita lain, kemungkinan besar wanita malang itu boleh mandul.

Lelaki berkenaan juga berkemungkinan mandul jika jangkitan itu mengakibatkan salur spermanya tersumbat.

Kepada mereka yang terlanjur dan mengesyaki terkena jangkitan, segera jumpa doktor. Ujian darah akan mengesahkan jangkitan dan penyakit ini ada rawatannya.

Sumber : Harian Metro

09 October 2009

Filem, Permainan Video Pengaruhi Murid Jadi Ganas

Kementerian Pelajaran mengenal pasti pengaruh filem menerusi wayang dan permainan video menjadi antara penyumbang kepada peningkatan masalah disiplin murid sekolah rendah sepanjang Januari hingga Jun lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata pelajar seawal usia muda itu semakin terdedah kepada keganasan menerusi kedua-dua media berkenaan yang mendorong mereka melakukan kesalahan disiplin di sekolah.

"Pelajar terdedah kepada keganasan termasuk aksi pergaduhan menerusi filem yang mereka tonton.

"Kanak-kanak seawal usia empat tahun sudah didedahkan dengan aksi ganas seperti filem Terminator dan beberapa filem yang mempengaruhi mereka tanpa sedar," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid di kementerian itu di sini, semalam.

Mesyuarat berkenaan dihadiri pegawai kanan kementerian itu, polis, agensi berkaitan, badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan kesatuan guru.

Sementara itu, Wee berkata, statistik menunjukkan kadar salah laku murid peringkat sekolah rendah secara keseluruhan meningkat daripada 0.78 peratus atau 24,960 pelajar tahun lalu kepada 0.79 peratus atau 25,280 murid bagi tempoh Januari hingga Jun daripada keseluruhan kira-kira 3.2 juta pelajar.

"Peningkatan yang berlaku pada peringkat sekolah rendah adalah pada kategori salah laku ponteng sekolah pada kadar 0.04 peratus serta kekemasan diri dan kurang sopan masing-masing mencatat 0.02 peratus," katanya.

Beliau berkata, kadar salah laku disiplin pelajar sekolah menengah secara keseluruhan pula menurun daripada 1.96 peratus atau 43,904 pelajar antara Januari hingga Jun tahun lalu kepada 1.93 (43,232 pelajar) dalam tempoh sama tahun ini daripada 2.24 juta pelajar.

"Isu yang membabitkan disiplin murid secara keseluruhannya terkawal, jumlah pelajar yang terbabit dengan masalah disiplin secara keseluruhan menurun daripada 2.10 peratus pada 2007 kepada 2.08 tahun lalu,” katanya.

"Kes disiplin yang dimaksudkan termasuk kes berat seperti memukul, bergaduh, ponteng sekolah serta kes disiplin ringan seperti kekemasan diri...ini menunjukkan lebih daripada 97 peratus tidak terbabit dengan masalah berkenaan," katanya.

Beliau berkata, kategori salah laku yang masih konsisten bagi pelajar menengah dan rendah dalam tempoh itu ialah kurang sopan sebanyak 0.24 peratus, berunsur kelucahan (0.03 peratus), kekemasan diri (0.22 peratus) serta ponteng sekolah (0.22 peratus).

Wee berkata, kementerian juga menerima 65 maklum balas awam menerusi Sistem Aduan Disiplin Murid bagi tempoh Januari hingga bulan lalu dan jumlah itu menurun sebanyak 31 aduan berbanding 96 aduan bagi tempoh sama tahun lalu.

"Semua aduan berkenaan sudah disiasat dan diambil tindakan," katanya.

Sumber : Berita Harian

06 October 2009

Musim Peperiksaan Bermula Penentu Masa Depan

Pelajar sekolah terutama mereka yang menuntut di Tingkatan Tiga dan Tingkatan Lima, bermulanya suku keempat persekolahan tahun ini, bukan lagi masa untuk mereka meneruskan aktiviti melepak di sana sini, mahupun giat melakukan aktiviti kokurikulum, sebaliknya perlu menumpu kepada akademik.

Minggu ini, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi pelajar Tingkatan Tiga akan bermula Rabu hingga Selasa depan dan disusuli peperiksaan amali Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada minggu berikutnya, 20 Oktober serta bertulis bermula pada 18 November hingga 16 Disember ini.

Pada waktu ini, pelajar yang bakal menduduki PMR seharusnya sudah selesai menimba sebanyak ilmu pengetahuan terhadap subjek yang dipelajari termasuk latih tubi dan seluruh buku teks sekolah manakala bagi yang akan berdepan dengan SPM seharus menggunakan masa ini untuk membaca, menghafal dan melatih tubi subjek yang dirasakan dirinya masih lemah.

Pada peringkat ini, pelajar PMR mereka hanya perlu buat sedikit lagi latih tubi termasuk mengadakan pembelajaran secara berkumpulan bagi memantapkan pengetahuan dan menghafal yang perlu bagi menjawab soalan subjektif pada waktu peperiksaan nanti.

Tidak kira Melayu, Cina, India atau lain-lain bangsa di kawasan bandar mahupun pedalaman, kerjasama menerusi pembelajaran bersama pada waktu ini mencerminkan gagasan 1Malaysia yang dilaungkan kerajaan.

Apa yang penting, kita sudah berusaha sebelum seterusnya bertawakal kepada Tuhan bagi meraih pencapaian membanggakan.

Pada masa sama, ibu bapa juga patut memainkan peranan memantau perkembangan pembelajaran, makan minum serta mendoakan anak-anak dalam mencapai kejayaan menjadi insan berguna di masa depan.

Walaupun terpaksa bekerja, tidak wajar membiarkan anak terutama mereka yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM berjuang sendiri tanpa sokongan ibu bapa mahupun penjaga.

Sekiranya difikirkan, kerja tidak akan habis sampai bila-bila, hanya mungkin sehingga pencen kelak.

Oleh itu, ketika anak semakin membesar, terutama ketika mereka meniti usia remaja pada masa ini, sebahagian besar pembentukan anak-anak dilentur ibu-bapa sendiri.

Bukan bergantung kepada penjaga mahupun kepada pengajaran dan kawalan guru di sekolah, tetapi ibu bapa yang seharusnya memainkan peranan mengambil sedikit masa atau cuti sebagai memberikan sokongan kepada anak mereka, yang tentunya menghadapi saat gemuruh berdepan dengan peperiksaan besar dalam menentukan hala tuju apabila naik ke Tingkatan Empat nanti.

Keputusan pembelajaran peperiksaan itu nanti tentunya menentukan sama ada anak-anak dapat meneruskan pembelajaran mereka di sekolah sama, atau ke sekolah berasrama penuh yang masing-masing menjanjikan harapan cerah buat mereka untuk ke peringkat yang lebih tinggi.

30 May 2009

Beronani Banyak Kesan Negatif

“Mereka kena sedar diri yang mereka sebenarnya berpenyakit dan perlukan rawatan,” ulas Perunding Motivasi, Prof Madya Md Izuddin Ali, mengenai lelaki muda tempatan mati pucuk akibat perbuatan sendiri.

Menurutnya, perbuatan merangsang nafsu syahwat secara sendirian menerusi aktiviti songsang seperti onani, menonton video lucah dan urut batin berserta khidmat ‘ekstra’ bukanlah langkah bijak sebaliknya mengundang musibah termasuk ketagih.

Katanya, ketagihan terhadap aktiviti negatif langsung tidak memanfaatkan kaum Adam, melainkan cermin kepada pertumbuhan diri di bawah pengaruh psikologi yang kurang sihat dan persekitaran tercemar.

“Orang begini, mereka membesar dipengaruhi perkara negatif... lambakan video dan bahan lucah, memburukkan lagi keadaan ditambah nafsu syahwat yang kuat sekali gus menyukarkan mereka mengawal diri.

“Sepatutnya, mereka mendapatkan rawatan daripada doktor dan pakar, tidak boleh membiarkan diri dibelenggu aktiviti rangsangan negatif kerana boleh merosakkan diri terutama pemikiran akan selalu terganggu dek khayalan fantasi seks.

“Nasihat saya, golongan bermasalah menemui pakar secara 'regular' dan mengikuti fasa rawatan secara berterusan untuk membuang amalan ini...tapi perlu juga berikhtiar mengikut syarak, jangan melanggar hukum Islam,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Md Izuddin yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu, turut menyarankan beberapa langkah untuk mengurangkan tabiat tidak bermoral itu termasuk penekanan nilai agama.

Beliau berkata, lunas Islam menetapkan bagi mereka yang cukup 'syarat' dari segi tuntutan zahir dan batin selain memiliki nafsu syahwat sukar dikawal perlu segera berkahwin bagi mengelak maksiat mahukan perlakuan tidak bermaruah.

“Dalam agama, kalau sudah begini perlu cepat kahwin ataupun mereka kena berpuasa supaya keinginan (nafsu) boleh berkurangan sebabnya bila dalam keadaan lapar atau letih kita tidak fikir ke arah itu (onani, tengok video lucah dan seumpamanya).

“Lagi satu, elakkan menyelongkar bahan lucah di Internet dan sebagainya untuk mengurangkan imaginasi mahupun khayalan bukan-bukan berikutan ini boleh cenderung kita beronani untuk capai kepuasan.

“Selain itu, kurangkan duduk bersendirian sebaliknya lebih banyak bersama kawan melakukan aktiviti positif seperti rekreasi dan bersenam. Kita juga boleh hidup secara sihat kalau amalkan ini,” katanya yang turut menggesa kelompok itu kembali kepada ajaran Islam.

Muka depan Metro Ahad minggu lepas memaparkan ramai lelaki di negara ini berdepan risiko mati pucuk pada usia muda disebabkan menghadapi masalah batin kronik angkara perbuatan sendiri.

Ia berpunca sikap ketagihan melakukan onani, kerap menonton video lucah dan gemar mengunjungi pusat urut batin tidak bertauliah yang menawarkan pelbagai perkhidmatan 'ekstra'.

Lebih membimbangkan perbuatan mereka sebelum berkahwin itu memberi kesan apabila mendirikan rumah tangga, malah ada kes dilaporkan berlakunya perceraian pada malam pertama perkahwinan.

Perbuatan keji itu seharusnya dijauhi kerana ia banyak memberi kesan buruk kepada lelaki yang ketagih serta mengakibatkan si pelaku boleh diserang mati pucuk.

Sumber : Harian Metro (Maiamalina Mohamed Amin)

Reblog this post [with Zemanta]

23 May 2009

Onani Antara Punca Mati Pucuk

Ramai lelaki di negara ini berdepan risiko mati pucuk pada usia muda disebabkan menghadapi masalah batin kronik angkara perbuatan sendiri.

Ia berpunca daripada sikap ketagih melakukan onani, kerap menonton video lucah dan gemar mengunjungi pusat urut batin tidak bertauliah yang menawarkan pelbagai perkhidmatan ‘ekstra’.

Lebih membimbangkan, perbuatan mereka sebelum berkahwin itu memberi kesan apabila mendirikan rumah tangga, malah ada kes dilaporkan berlakunya perceraian pada malam pertama perkahwinan.

Akibat tidak mampu memuaskan nafsu isteri, ada yang terpaksa bergantung kepada alat bantuan seks dan video lucah ketika melakukan hubungan kelamin dan lebih parah, ada yang sanggup membenarkan rakan memuaskan nafsu isterinya sambil dia menyaksikannya.

Pakar sakit tuan, Dr Ismail Thamby, berkata dia menerima sekurang-kurangnya 20 pesakit, 40 khidmat pesanan ringkas (SMS) dan lebih 120 panggilan telefon setiap bulan daripada lelaki yang berdepan masalah membabitkan lemah syahwat.

Menurutnya, lelaki bermasalah itu bukan saja golongan berkahwin tapi ramai juga yang bujang, termasuk yang membuat persiapan untuk berkahwin dalam masa terdekat.

“Ramai lelaki mengalami lemah syahwat akibat terlalu lama bergelumang dengan seks bebas. Ini menyebabkan mereka tidak mampu melaksanakan tugas dengan baik pada malam pertama, biarpun berasakan diri penuh pengalaman.

“Ini kerana ‘seruan malam pertama’ berlainan. Jika gagal melakukan penetrasi, tidak mustahil mereka kecundang dalam cubaan seterusnya,” katanya.

Dr Ismail berkata, di kalangan lelaki yang sudah lama berkahwin pula, ada yang memendam masalah lemah tenaga batin yang mereka alami untuk tempoh terlalu lama sehingga merosakkan rumah tangga masing-masing.

“Ia perkara serius tetapi biasanya individu yang berdepan masalah terbabit sanggup datang selepas lama ‘menderita’, menyebabkan masa berharga terbuang begitu saja,” katanya.

Bagi pengamal perubatan tradisional, Ummul Khanna Mohd Nor, 63, atau lebih dikenali sebagai Bonda, secara purata dia dikunjungi hampir 40 lelaki setiap bulan, yang hampir semuanya mengadu mengalami masalah lemah tenaga batin.

Dia yang berpengalaman 36 tahun dalam bidang urutan tenaga batin berkata, biarpun dia turut berkepakaran memberi rawatan kepada wanita yang menghadapi masalah seksual, sebahagian besar yang mengunjunginya adalah lelaki.

“Rumusan saya, ramai lelaki hari ini terbabit dengan aktiviti seksual sejak remaja. Contoh paling mudah ialah melakukan onani.

“Saya pernah didatangi seorang remaja belasan tahun yang menanggung derita apabila darah keluar dari zakarnya akibat terputus urat saraf. Puncanya, dia mengaku melakukan onani sejak usia lapan tahun.

“Dalam kes lain, seorang remaja berusia 19 tahun mengalami mati pucuk. Apabila saya tanya, dia mengaku melakukan onani sehingga lima atau enam kali sehari sejak usianya akil baligh,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.

Bonda berkata, dia mengkategorikan masalah pesakit kepada empat tahap iaitu pra kritikal yang masih boleh berfungsi tetapi cepat klimaks; kritikal (ada masa boleh berfungsi dan ada ketika tidak); kritikal parah (tidak boleh melakukan hubungan kelamin kerana zakar tiada ereksi) dan mati pucuk.

Sehubungan itu, Bonda menasihatkan remaja supaya memahami kesan buruk akibat memuaskan nafsu sendiri dengan pelbagai cara terlarang.

“Sebenarnya, masyarakat kita kurang ilmu mengenai masalah seksual dan ia sukar dibincangkan kerana malu. Jadi saya berharap remaja mengetahui kesan sampingan akibat perbuatan yang hanya seronok sementara berbanding kesengsaraan berpanjangan,” katanya.

Bonda berkata, pesakit terbarunya ialah lelaki berusia 25 tahun yang bakal mendirikan rumah tangga akhir tahun ini.

Katanya, lelaki itu mengalami masalah alat sulitnya lembik. Selepas diselidik, lelaki yang berkerjaya profesional itu mengaku suka melakukan onani di dalam bilik sambil melayari laman web lucah.

“Sebelum ini seorang pemuda dari Kedah gemar mengunjungi pusat urut yang menawarkan seks oral sejak usianya 20 tahun. Akibatnya dia hampir mati pucuk ketika usia 27 tahun,” katanya.

Menurut Bonda, tindakan memuaskan nafsu dengan cara onani, oral seks atau melakukan hubungan songsang sebenarnya mengundang padah dan kesengsaraan berbanding kenikmatan sementara.

“Sebenarnya onani merosakkan urat saraf dan ini banyak saya temui berlaku pada pesakit saya. Apabila melakukan onani, tangan yang kasar menarik kulit atas dan bawah dan ini menyebabkan struktur kulit longgar atau kendur.

“Ada kulit pesakit saya hampir menutup kepala zakarnya dan menyebabkan ia tidak boleh menegang dengan baik,” katanya.

Bonda berkata, seks oral dan hubungan songsang juga dikhuatiri boleh menyebabkan jangkitan kuman daripada air liur selain ketagih sehingga menyebabkan dengan cara itu saja seseorang mendapat kepuasan.

“Pada usia remaja, golongan ini seronok melakukan pelbagai cara untuk memuaskan nafsu tetapi selepas berkahwin alat sulitnya gagal berfungsi, malah ada yang baru hendak mula, sudah keluar air mani.

“Banyak juga kes diterima di mana suami tidak mampu memuaskan nafsu isteri, malah ada yang tergamak menggunakan khidmat rakan untuk memuaskan isterinya sambil dia jadi penonton.

“Ada juga suami hanya bergantung kepada video lucah untuk menaikkan nafsunya baru boleh melakukan hubungan kelamin dan lebih parah lagi, ada isteri minta cerai apabila suami cepat klimaks,” katanya.

Menurut Bonda, untuk setiap pesakit yang mendapatkan rawatannya, dia menggunakan lima kaedah sebelum memberi rawatan khusus.

“Rawatan bagi masalah batin yang kronik perlu dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali. Pada kali pertama, saya periksa tekanan darah, prostat dan abdomen sambil menyelami punca masalah.

“Selepas itu saya jalankan rawatan mengurut seluruh badan untuk melancarkan perjalanan darah. Kemudian periksa tekanan darah di kelenjar paha, sama ada stabil atau tidak. Jika ada masalah, saya akan betulkan urat saraf dan akhirnya rawatan khusus,” katanya.

Sumber : Metro Ahad (Fuad Hadinata Yaacob dan Nazarali Saeril)

Reblog this post [with Zemanta]