21 April 2010

Orkestra SMSAH Unggul

Slogan pasukan wind orkestra Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH), Jitra, iaitu 'One Band One Sound' bukan saja menaikkan nama pasukan orkestranya, tetapi turut menjadikan sekolah itu terpilih sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang diumumkan baru-baru ini.

Kejayaan pasukan wind orkestra SMSAH meraih pelbagai kejohanan sama ada di peringkat negeri dan kebangsaan menjadikan sekolah itu berjaya seiring dengan pencapaian akademiknya setiap tahun.

Guru penyelaras, Khairulfahmi Jumri, 37, berkata kejayaan yang dicapai pada hari ini adalah dari usaha gigih yang ditunjuk ahli orkestra tersebut.

Katanya, setiap ahli sentiasa ditekankan dengan semangat kerja keras dan komitmen yang mereka perlu mematuhinya.

"Oleh kerana semua ahlinya tinggal di asrama ini memudahkan mereka hadir ketika sesi latihan yang biasanya diadakan pada waktu malam.


"Bagaimanapun, ini tidak bermakna pembelajaran mereka akan terganggu kerana semua berjaya mendisiplinkan diri bagi membahagi masa belajar dan bermain.

"Kerana itu juga, tidak hairanlah ramai antara ahli kelab memperoleh keputusan peperiksaan yang membanggakan," katanya.

Di antara kejayaan yang pernah dimenangi wind orkestra SMSAH ialah Anugerah Perak Pertandingan Wind Orkestra Sekolah Berasrama Penuh (SBP) 2002, Anugerah Emas Pertandingan Wind Orkestra SBP 2003 dan 2008 serta Anugerah Emas Pertandingan Wind Orkestra SBP dan Sekolah Kluster 2009.

Menurut Khairulfahmi lagi, kejayaan ini disebabkan kesungguhan ahlinya yang berlatih tiga kali seminggu dan setiap hari jika ada pertandingan atau pertunjukan.

Kejayaan wind orkestra SMSAH ini menyebabkan mereka sering diberi penghormatan untuk mengadakan pertunjukan seperti konsert keputeraan Sultan Kedah dan Perlis, Hari Kemerdekaan dan pertunjukan amal oleh badan korporat.

Katanya lagi, bagi mengekalkan kejayaan yang dicapai selama ini, ahli kelab seramai 60 orang itu turut mengambil ahlinya dari Tingkatan satu hingga Tingkatan lima supaya ahli baru dapat mewarisi ilmu yang ada dari ahli lama.

Latar belakang sekolah
NAMA SEKOLAH:  Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra
TARAF:  Sekolah Berasrama Penuh Premier
PENGETUA: Ahmad Din
GURU PENYELARAS: Khairulfahmi Jumri
BILANGAN GURU: 60 orang
BILANGAN PELAJAR: 700 pelajar
KELAB: Wind Orkestra
TARIKH DITUBUHKAN: 2000 AHLI: 60 ahli

Sumber : Harian Metro 15 Mac 2010

No comments:

Post a Comment