08 March 2011

Guru Wanita Usik Murid Lelaki

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendedahkan ada guru wanita didakwa ‘mengusik’ pelajar lelaki, terutama yang dikatakan memiliki paras rupa atau penampilan menarik di sekolah menengah.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata perbuatan guru wanita sedemikian didakwa menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ibu bapa pelajar terbabit sehingga ada yang membuat aduan kepada NUTP.

“Setakat ini, ada tiga ibu bapa menghubungi NUTP mengadu guru wanita mengambil kesempatan terhadap anak lelaki mereka di sekolah.

“Satu daripada aduan membabitkan seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat mendakwa pipinya selalu ‘dicubit-cubit manja’ oleh seorang guru wanita di kelas kerana meminati rupa parasnya yang menarik, bukan kerana hukuman disiplin.

“Perbuatan itu bukan saja menyebabkan pelajar terbabit sering berasa segan dan serba-salah, malah menjadi bahan ejekan atau gurauan rakan sekelas terhadapnya,” katanya ketika dihubungi semalam.

07 March 2011

Masa Depan Pelajar Sekolah Seni

Lebih 100 pelajar perintis dua sekolah seni kendalian Kementerian Pelajaran yang kini berada dalam Tingkatan Lima, dijangka berdepan masalah memohon kemasukan institusi pengajian tinggi (IPT) kelak berikutan sistem penggredan digunakan dalam peperiksaan mata pelajaran kesenian mereka didakwa tidak diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi.

Status itu dikatakan mencetus kebimbangan pelbagai pihak, khususnya ibu bapa dan guru, terhadap nasib serta hala tuju pelajar dua sekolah seni yang ditubuhkan sejak Januari 2007, iaitu Sekolah Seni Johor Bahru (SSeJB) dan Sekolah Seni Kuching (SSK).

Sistem penilaian dan penaksiran subjek kesenian yang diambil pelajar terbabit adalah dalam bentuk Band merangkumi Band I hingga VI, berbeza dengan sistem untuk mata pelajaran akademik.

Sistem Band seumpama turut digunakan dalam penilaian Malaysian University English Test (MUET) yang diiktiraf kerajaan tetapi dalam konteks mata pelajaran kesenian di sekolah seni, ia belum diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi.