14 October 2009

Bahana Seks Bebas

Islam melarang penganutnya berzina, iaitu melakukan hubungan seks tanpa nikah. Ia juga melarang seseorang itu bertukar-tukar pasangan dan melakukan hubungan seks secara rambang atau bebas.

Setiap perkara dilakukan akan memberi kesan kepada kehidupan kita. Sehubungan itu, berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara adalah jalan terbaik bagi mengelak menyesal di kemudian hari.

Seks bebas adalah perkara yang wajib dielak, sebab itu agama melarang keras kerana dalam perspektif perubatan moden diakui bahawa amalan seks bebas boleh mendatangkan kemudaratan.

Saya menerima banyak persoalan daripada lelaki melakukan seks rambang mengenai kesan dihadapi mereka.

Hakikatnya ialah, gejala atau kesan daripada hubungan seks rambang sukar diduga, terutama jika hubungan itu tidak dirancang.

Kajian menunjukkan hubungan seks mudah berlaku apabila lelaki dan wanita dalam keadaan berdua-duaan dan ketika itu mereka tidak terfikir apa juga kesan daripada tindakan yang bakal dilakukan.

09 October 2009

Filem, Permainan Video Pengaruhi Murid Jadi Ganas

Kementerian Pelajaran mengenal pasti pengaruh filem menerusi wayang dan permainan video menjadi antara penyumbang kepada peningkatan masalah disiplin murid sekolah rendah sepanjang Januari hingga Jun lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata pelajar seawal usia muda itu semakin terdedah kepada keganasan menerusi kedua-dua media berkenaan yang mendorong mereka melakukan kesalahan disiplin di sekolah.

"Pelajar terdedah kepada keganasan termasuk aksi pergaduhan menerusi filem yang mereka tonton.

"Kanak-kanak seawal usia empat tahun sudah didedahkan dengan aksi ganas seperti filem Terminator dan beberapa filem yang mempengaruhi mereka tanpa sedar," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid di kementerian itu di sini, semalam.

Mesyuarat berkenaan dihadiri pegawai kanan kementerian itu, polis, agensi berkaitan, badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan kesatuan guru.

06 October 2009

Musim Peperiksaan Bermula Penentu Masa Depan

Pelajar sekolah terutama mereka yang menuntut di Tingkatan Tiga dan Tingkatan Lima, bermulanya suku keempat persekolahan tahun ini, bukan lagi masa untuk mereka meneruskan aktiviti melepak di sana sini, mahupun giat melakukan aktiviti kokurikulum, sebaliknya perlu menumpu kepada akademik.

Minggu ini, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi pelajar Tingkatan Tiga akan bermula Rabu hingga Selasa depan dan disusuli peperiksaan amali Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada minggu berikutnya, 20 Oktober serta bertulis bermula pada 18 November hingga 16 Disember ini.

Pada waktu ini, pelajar yang bakal menduduki PMR seharusnya sudah selesai menimba sebanyak ilmu pengetahuan terhadap subjek yang dipelajari termasuk latih tubi dan seluruh buku teks sekolah manakala bagi yang akan berdepan dengan SPM seharus menggunakan masa ini untuk membaca, menghafal dan melatih tubi subjek yang dirasakan dirinya masih lemah.

Pada peringkat ini, pelajar PMR mereka hanya perlu buat sedikit lagi latih tubi termasuk mengadakan pembelajaran secara berkumpulan bagi memantapkan pengetahuan dan menghafal yang perlu bagi menjawab soalan subjektif pada waktu peperiksaan nanti.