09 October 2009

Filem, Permainan Video Pengaruhi Murid Jadi Ganas

Kementerian Pelajaran mengenal pasti pengaruh filem menerusi wayang dan permainan video menjadi antara penyumbang kepada peningkatan masalah disiplin murid sekolah rendah sepanjang Januari hingga Jun lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata pelajar seawal usia muda itu semakin terdedah kepada keganasan menerusi kedua-dua media berkenaan yang mendorong mereka melakukan kesalahan disiplin di sekolah.

"Pelajar terdedah kepada keganasan termasuk aksi pergaduhan menerusi filem yang mereka tonton.

"Kanak-kanak seawal usia empat tahun sudah didedahkan dengan aksi ganas seperti filem Terminator dan beberapa filem yang mempengaruhi mereka tanpa sedar," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid di kementerian itu di sini, semalam.

Mesyuarat berkenaan dihadiri pegawai kanan kementerian itu, polis, agensi berkaitan, badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan kesatuan guru.


Sementara itu, Wee berkata, statistik menunjukkan kadar salah laku murid peringkat sekolah rendah secara keseluruhan meningkat daripada 0.78 peratus atau 24,960 pelajar tahun lalu kepada 0.79 peratus atau 25,280 murid bagi tempoh Januari hingga Jun daripada keseluruhan kira-kira 3.2 juta pelajar.

"Peningkatan yang berlaku pada peringkat sekolah rendah adalah pada kategori salah laku ponteng sekolah pada kadar 0.04 peratus serta kekemasan diri dan kurang sopan masing-masing mencatat 0.02 peratus," katanya.

Beliau berkata, kadar salah laku disiplin pelajar sekolah menengah secara keseluruhan pula menurun daripada 1.96 peratus atau 43,904 pelajar antara Januari hingga Jun tahun lalu kepada 1.93 (43,232 pelajar) dalam tempoh sama tahun ini daripada 2.24 juta pelajar.

"Isu yang membabitkan disiplin murid secara keseluruhannya terkawal, jumlah pelajar yang terbabit dengan masalah disiplin secara keseluruhan menurun daripada 2.10 peratus pada 2007 kepada 2.08 tahun lalu,” katanya.

"Kes disiplin yang dimaksudkan termasuk kes berat seperti memukul, bergaduh, ponteng sekolah serta kes disiplin ringan seperti kekemasan diri...ini menunjukkan lebih daripada 97 peratus tidak terbabit dengan masalah berkenaan," katanya.

Beliau berkata, kategori salah laku yang masih konsisten bagi pelajar menengah dan rendah dalam tempoh itu ialah kurang sopan sebanyak 0.24 peratus, berunsur kelucahan (0.03 peratus), kekemasan diri (0.22 peratus) serta ponteng sekolah (0.22 peratus).

Wee berkata, kementerian juga menerima 65 maklum balas awam menerusi Sistem Aduan Disiplin Murid bagi tempoh Januari hingga bulan lalu dan jumlah itu menurun sebanyak 31 aduan berbanding 96 aduan bagi tempoh sama tahun lalu.

"Semua aduan berkenaan sudah disiasat dan diambil tindakan," katanya.

Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment