04 March 2010

Kejayaan Sekolah Sukan Bandar Penawar

Keberkesanan Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) dalam melahirkan atlit muda negara wajar dicontohi oleh semua pihak termasuk institusi pengajian tinggi yang menawarkan bidang pengajian berkaitan sukan.

Menerusi visinya, "Sekolah Sukan Bandar Penawar Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang", ia terbukti telah berjaya melahirkan ramai atlit muda dalam pelbagai acara sukan.

"SSBP telah berjaya melahirkan atlit kebangsaan di dalam beberapa sukan terutamanya judo, taekwondo, lawan pedang, hoki, ragbi dan lumba basikal.

"Sebagai contoh, majoriti atlit judo yang mewakili negara sama ada di Sukan SEA, mahupun kejohanan antarabangsa yang lain sejak beberapa tahun lepas adalah berasal daripada Sekolah Sukan Bandar Penawar," kata Pengetuanya Wan Ibrahim Wan Chik.

Menurut beliau, selain sukan judo, SSBP juga telah berjaya menghasilkan pemain-pemain ragbi remaja kebangsaan.

01 March 2010

Bahana Bertuhankan Nafsu

Kebanyakan remaja perempuan bermasalah mengakui mereka lari dari rumah kerana bosan dengan leteran ibu bapa dan inginkan kebebasan maksimum.

Paling ramai disebabkan termakan pujuk rayu teman lelaki yang berjanji akan memberikan perlindungan sekiranya mereka tiada tempat tinggal. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Terdapat banyak kes remaja yang dirogol teman lelaki kemudian hamil dan melahirkan anak luar nikah. Begitu juga dengan gadis yang melarikan diri ke Lombok, Indonesia gara-gara termakan dengan pujukan teman lelaki.

Ikuti pengakuan dua wanita yang kini tinggal di Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah yang akhirnya menyesal kerana lari dari rumah. Begitu juga wanita tiga anak yang baru saja pulang ke pangkuan keluarga di Terengganu selepas melarikan diri bersama teman lelaki ke Lombok, Indonesia, seperti diceritakan kepada wartawan Harian Metro Siti Zarinah Sahib.

Cerita 1
Noriza, 16, (bukan nama sebenar) sudah enam bulan memasuki Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudatus Sakinah (RS). Anak kedua daripada lima beradik ini dibawa keluarga ke RS selepas mengandung enam bulan. Selepas mengetahuinya, Noriza tekad mahu menggugurkan kandungan dengan mengambil ubat di klinik. Tetapi rancangan itu tidak berjaya dan dari sehari ke sehari kandungannya semakin membesar.