04 March 2010

Kejayaan Sekolah Sukan Bandar Penawar

Keberkesanan Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) dalam melahirkan atlit muda negara wajar dicontohi oleh semua pihak termasuk institusi pengajian tinggi yang menawarkan bidang pengajian berkaitan sukan.

Menerusi visinya, "Sekolah Sukan Bandar Penawar Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang", ia terbukti telah berjaya melahirkan ramai atlit muda dalam pelbagai acara sukan.

"SSBP telah berjaya melahirkan atlit kebangsaan di dalam beberapa sukan terutamanya judo, taekwondo, lawan pedang, hoki, ragbi dan lumba basikal.

"Sebagai contoh, majoriti atlit judo yang mewakili negara sama ada di Sukan SEA, mahupun kejohanan antarabangsa yang lain sejak beberapa tahun lepas adalah berasal daripada Sekolah Sukan Bandar Penawar," kata Pengetuanya Wan Ibrahim Wan Chik.

Menurut beliau, selain sukan judo, SSBP juga telah berjaya menghasilkan pemain-pemain ragbi remaja kebangsaan.


"Malah boleh dikatakan lebih daripada 90 peratus skuad ragbi bawah 19 tahun kebangsaan diwakili oleh pelajar-pelajar Sekolah Sukan Bandar Penawar. Ia adalah pencapaian yang menakjubkan," katanya.

Dua tahun lepas katanya yang juga merupakan ketua jurulatih ragbi kebangsaan, pasukan ragbi bawah 19 tahun kebangsaan telah berjaya memasuki peringkat separuh akhir dan muncul sebagai empat pasukan teratas di dalam kejohanan bawah 19 tahun Asia yang diadakan di Hong Kong.

Pada tahun ini katanya, skuad ragbi bawah 19 tahun negara itu akan menyertai kejohanan peringkat umur Asia yang dijadual diadakan di Tokyo, Jepun akhir tahun ini di mana mereka akan cuba melayakkan diri ke perlawanan akhir.

"Dua pasukan teratas secara automatiknya akan layak bertanding di Kejohanan Ragbi Remaja Dunia mewakili benua Asia," katanya sambil menambah, jika menjadi kenyataan ia merupakan suatu sejarah bagi Malaysia.

Menurut Wan Ibrahim, walaupun tidak diuar-uarkan oleh media tempatan tetapi SSBP turut menjadi "lombong" atlit muda negara di dalam sukan hoki serta lumba basikal.

Katanya SSBP dengan motonya "Be the best" telah berjaya melahirkan sembilan pemain remaja kebangsaan yang mewakili negara di dalam Kejohanan Hoki Remaja Asia tahun lepas dan kesemua mereka kini menjadi tulang belakang kepada skuad remaja kebangsaan.

Menurut beliau, sekolah itu kini menjadi kilang kepada pemain-pemain hoki remaja negara yang berjaya menempatkan diri mereka di dalam pelbagai kelab yang bertanding di dalam Liga Hoki Kebangsaan.

"Malah salah seorang pemain hoki remaja daripada SSBP, Faizal Shaari telah berjaya diserapkan ke skuad senior hoki kebangsaan, selepas menunjukkan aksi yang memberangsangkan di peringkat remaja," katanya.

Sukan lumba basikal di SSBP katanya, juga telah berjaya melahirkan atlit kebangsaan seperti Nur Fatehah Mustapha, yang kini menganggotai skuad senior negara bertanding dalam pelbagai kejohanan antarabangsa serta dunia.

sumber : BERNAMA

No comments:

Post a Comment