Pelajar sekolah terutama mereka yang menuntut di Tingkatan Tiga dan Tingkatan Lima, bermulanya suku keempat persekolahan tahun ini, bukan lagi masa untuk mereka meneruskan aktiviti melepak di sana sini, mahupun giat melakukan aktiviti kokurikulum, sebaliknya perlu menumpu kepada akademik.
Minggu ini, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi pelajar Tingkatan Tiga akan bermula Rabu hingga Selasa depan dan disusuli peperiksaan amali Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada minggu berikutnya, 20 Oktober serta bertulis bermula pada 18 November hingga 16 Disember ini.
Pada waktu ini, pelajar yang bakal menduduki PMR seharusnya sudah selesai menimba sebanyak ilmu pengetahuan terhadap subjek yang dipelajari termasuk latih tubi dan seluruh buku teks sekolah manakala bagi yang akan berdepan dengan SPM seharus menggunakan masa ini untuk membaca, menghafal dan melatih tubi subjek yang dirasakan dirinya masih lemah.
Pada peringkat ini, pelajar PMR mereka hanya perlu buat sedikit lagi latih tubi termasuk mengadakan pembelajaran secara berkumpulan bagi memantapkan pengetahuan dan menghafal yang perlu bagi menjawab soalan subjektif pada waktu peperiksaan nanti.
Tidak kira Melayu, Cina, India atau lain-lain bangsa di kawasan bandar mahupun pedalaman, kerjasama menerusi pembelajaran bersama pada waktu ini mencerminkan gagasan 1Malaysia yang dilaungkan kerajaan.
Apa yang penting, kita sudah berusaha sebelum seterusnya bertawakal kepada Tuhan bagi meraih pencapaian membanggakan.
Pada masa sama, ibu bapa juga patut memainkan peranan memantau perkembangan pembelajaran, makan minum serta mendoakan anak-anak dalam mencapai kejayaan menjadi insan berguna di masa depan.
Walaupun terpaksa bekerja, tidak wajar membiarkan anak terutama mereka yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM berjuang sendiri tanpa sokongan ibu bapa mahupun penjaga.
Sekiranya difikirkan, kerja tidak akan habis sampai bila-bila, hanya mungkin sehingga pencen kelak.
Oleh itu, ketika anak semakin membesar, terutama ketika mereka meniti usia remaja pada masa ini, sebahagian besar pembentukan anak-anak dilentur ibu-bapa sendiri.
Bukan bergantung kepada penjaga mahupun kepada pengajaran dan kawalan guru di sekolah, tetapi ibu bapa yang seharusnya memainkan peranan mengambil sedikit masa atau cuti sebagai memberikan sokongan kepada anak mereka, yang tentunya menghadapi saat gemuruh berdepan dengan peperiksaan besar dalam menentukan hala tuju apabila naik ke Tingkatan Empat nanti.
Keputusan pembelajaran peperiksaan itu nanti tentunya menentukan sama ada anak-anak dapat meneruskan pembelajaran mereka di sekolah sama, atau ke sekolah berasrama penuh yang masing-masing menjanjikan harapan cerah buat mereka untuk ke peringkat yang lebih tinggi.
No comments:
Post a Comment