08 March 2011

Guru Wanita Usik Murid Lelaki

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendedahkan ada guru wanita didakwa ‘mengusik’ pelajar lelaki, terutama yang dikatakan memiliki paras rupa atau penampilan menarik di sekolah menengah.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata perbuatan guru wanita sedemikian didakwa menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ibu bapa pelajar terbabit sehingga ada yang membuat aduan kepada NUTP.

“Setakat ini, ada tiga ibu bapa menghubungi NUTP mengadu guru wanita mengambil kesempatan terhadap anak lelaki mereka di sekolah.

“Satu daripada aduan membabitkan seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat mendakwa pipinya selalu ‘dicubit-cubit manja’ oleh seorang guru wanita di kelas kerana meminati rupa parasnya yang menarik, bukan kerana hukuman disiplin.

“Perbuatan itu bukan saja menyebabkan pelajar terbabit sering berasa segan dan serba-salah, malah menjadi bahan ejekan atau gurauan rakan sekelas terhadapnya,” katanya ketika dihubungi semalam.


Kes guru didakwa mencabul kehormatan atau merogol pelajar di sekolah menjadi tajuk berita sejak kebelakangan ini, termasuk kelmarin, akhbar melaporkan 11 pelajar perempuan Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di Ampang di sini, mengadu dicabul guru disiplin ketika merotan mereka kerana tidak hadir perhimpunan, Jumaat lalu.

Guru lelaki itu didakwa meletakkan tangannya pada dada pelajar terbabit kononnya bagi merasai denyutan jantung sebelum merotan punggung mereka.

Namun, jarang dilaporkan mengenai kes guru wanita yang terbabit dalam salah laku membabitkan pelajar lelaki.

Hashim berkata, dakwaan membabitkan kedua-dua guru lelaki mahupun wanita harus dibendung bagi mengelakkan masyarakat semakin hilang kepercayaan terhadap integriti dan kredibiliti pendidik di sekolah.

Justeru, katanya, semua guru mesti bersikap profesional ketika menjalankan tugas, termasuk ketika mengambil tindakan berbentuk fizikal terhadap pelajar.

“Disarankan guru lelaki atau wanita yang dikesan mahupun didapati ada tanda atau kecenderungan melakukan ‘usikan’ tidak wajar terhadap pelajar berlainan jantina, ditukarkan untuk bertugas di sekolah lelaki atau perempuan sepenuhnya,” katanya.

2 comments:

  1. teruk nyer..
    ssh zaman sekarang...
    ermmmmm

    ReplyDelete
  2. saya mase sekolah menengah dengan guru lelaki...sy lelaki ok...bila ingat balik melampau la guru tu...skang sy dah masuk U, malas nak pikir dah...abaikan.....

    ReplyDelete