07 March 2011

Masa Depan Pelajar Sekolah Seni

Lebih 100 pelajar perintis dua sekolah seni kendalian Kementerian Pelajaran yang kini berada dalam Tingkatan Lima, dijangka berdepan masalah memohon kemasukan institusi pengajian tinggi (IPT) kelak berikutan sistem penggredan digunakan dalam peperiksaan mata pelajaran kesenian mereka didakwa tidak diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi.

Status itu dikatakan mencetus kebimbangan pelbagai pihak, khususnya ibu bapa dan guru, terhadap nasib serta hala tuju pelajar dua sekolah seni yang ditubuhkan sejak Januari 2007, iaitu Sekolah Seni Johor Bahru (SSeJB) dan Sekolah Seni Kuching (SSK).

Sistem penilaian dan penaksiran subjek kesenian yang diambil pelajar terbabit adalah dalam bentuk Band merangkumi Band I hingga VI, berbeza dengan sistem untuk mata pelajaran akademik.

Sistem Band seumpama turut digunakan dalam penilaian Malaysian University English Test (MUET) yang diiktiraf kerajaan tetapi dalam konteks mata pelajaran kesenian di sekolah seni, ia belum diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi.


Modul, sukatan pelajaran dan keputusan peperiksaan menggunakan sistem penggredan Band di sekolah seni dilaksanakan Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) Kementerian Pelajaran.

Bagaimanapun, masalah kini timbul apabila Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) menyarankan pelajar ini mendaftar untuk menduduki peperiksaan subjek kesenian sekolah harian biasa bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan November depan.

Kumpulan perintis sekolah seni ini meluangkan hampir 12 jam seminggu untuk mempelajari subjek kesenian mereka dan menerusi sukatan serta modul khas yang diikuti, pendidikan mereka boleh dianggap setaraf pengajian pelajar tahun pertama peringkat diploma.

Oleh itu berbaloikah usaha semua pelajar sekolah seni ini jika mendaftar mengambil peperiksaan sekolah harian biasa semata-mata untuk memastikan gred mata pelajaran kesenian mereka diiktiraf?

Isu berkenaan perlu diberi perhatian segera kerana pelajar sekolah seni terbabit bakal mendaftar mata pelajaran yang akan diambil dalam peperiksaan SPM pada akhir bulan ini.

Masalah ini dikatakan sudah dikenal pasti sejak lebih setahun lalu dan dibincangkan dalam mesyuarat Kementerian Pelajaran dari semasa ke semasa.

Namun sehingga kini difahamkan tiada sebarang penyelesaian diperoleh, sebaliknya memerlukan transformasi pada peringkat pelajar sendiri. Di manakah martabat sekolah seni jika keadaan sebegini berlaku?

BPK Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi patut memandang serius masalah ini dan mengatasinya segera.

Sekiranya perkara itu berterusan dan mengundang masalah pada masa depan, tidak mustahil ibu bapa pelajar di sekolah itu memberhentikan anak kerana menganggap lebih baik mereka mengikuti pembelajaran di sekolah harian biasa.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SSeJB, Selamat Omar, mendakwa perkara berkenaan sering dibangkitkan pada mesyuarat PIBG sejak tahun lalu, namun sehingga kini pihak sekolah dan ibu bapa masih belum menerima sebarang kenyataan rasmi daripada Kementerian Pelajaran mahu pun Pengajian Tinggi mengenainya.

Mungkin bagi pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dari segi akademik tidak bermasalah untuk memasuki IPT tempatan.

Namun bagaimana pula dengan pelajar yang sederhana pencapaiannya, iaitu keputusan akademik dan kesenian masing-masing hanya 50-50, tentu peluang sukar untuk mereka memasuki IPT.

Selain itu, Selamat berkata, ramai ibu bapa juga pernah mempersoalkan mengapa pelajar sekolah seni perlu memilih aliran sains atau sastera ketika memasuki Tingkatan Empat selepas mendapat keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Ibubapa terkejut dengan keadaan ini. Dari awal lagi mereka sudah bertanya ketika bermesyuarat, mengapa sekolah seni perlu mengikut format sekolah harian biasa? Apa yang mereka risaukan sebelum ini kini sudah dapat dilihat sekarang.

SSeJB dan SSK diwujudkan kerajaan sebagai saluran kepada pelajar berbakat dan berpotensi dalam bidang kesenian untuk mendalami bidang yang mereka minati itu.

Sekolah seni ini menawarkan pendidikan kesenian teater, muzik, pendidikan seni visual dan tarian, selain subjek wajib lain seperti Matematik, Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris.

No comments:

Post a Comment