06 July 2008

SMAP Kajang Juara Bahas Piala Perdana Menteri

Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang, Selangor muncul juara Bahas Piala Perdana Menteri ke-35 setelah menewaskan Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (SMSRTAS), Ipoh, Perak pada pertandingan akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 4 Julai 2008 lalu.

Kemenangan kali ketiga SMAP Kajang sejak 2003 itu menjadi lebih bermakna apabila salah seorang pembahasnya, Mohamad Hisyamuddin Ghazali dipilih sebagai pendebat terbaik.

Menurut Mohamad Hisyamuddin, semangat berkumpulan dan latihan berterusan yang diamalkan oleh ahli kumpulannya memberi kesan yang cukup besar apabila diumumkan sebagai juara pertandingan itu.

"Selain membuat kajian terperinci mengenai tajuk yang dibahaskan, kami turut membuat latihan vokal dan gaya persembahan supaya memantapkan lagi perbahasan kumpulan kami," katanya yang pernah menjadi juara Kejohanan Debat Sekolah Malaysia anjuran Universiti Islam Antarabangsa, baru-baru ini.

Selain Mohamad Hisyamuddin, SMAP Kajang diwakili Mohammad Mustaqim Malek, Mohd. Nur Afiq Mohd. Yasim dan Hairul Izlan Mohd. Shamsudin.

SMSRTAS pula diwakili Muhammad Aleiff Tajuddin, Muhammad Adzlan Syazni, Muhammad Nazrul Anas Zunaidi dan Nisreen Afifah Nadzri.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail.

Sementara itu, bagi kategori debat bahasa Inggeris, Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor muncul juara mengetepikan pencabar mereka dari Maktab Tentera Diraja (MTD).

Mereka diwakili N. Mahheran, Ahmad Hazim Ahmad Sofian, Muhammad Asyrani Abdullah Zawawi dan Nur Shuhada Musa, manakala MTD diwakili oleh Cleophas John Gordon, Amirul Arzahar, Ahmad Amir Azfar Shahidan dan Syed Sadiq Syed Abdul Rahman.

Sebanyak 55 buah sekolah berasrama penuh mengambil bahagian dalam pertandingan berprestij yang bertujuan melahirkan pemimpin dinamis, cerdas dan bijaksana di peringkat sekolah.

2 comments:

  1. wah!
    my friends.
    proud of them!

    ReplyDelete
  2. wah..smap kajang nie btul terer la..alhamdulillah dapt skola bagus camni

    ReplyDelete