24 July 2008

MCKK - Maktab Melayu Kuala Kangsar

Dengan senarai panjang melahirkan pemimpin pelbagai organisasi sama ada korporat, pertubuhan bukan kerajaan, pentadbiran awam, pasukan keselamatan dan tokoh politik sejak lebih 100 tahun lalu, Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) meneruskan tradisi kecemerlangan itu menerusi beberapa program.

MCKK CrestAspek kepemimpinan pelajar menjadi salah satu keutamaan daripada sejumlah program institusi itu, yang asas penubuhannya pada 1905 atas perkenan Majlis Raja-raja Melayu.

Terkini, pelajar dan guru MCKK bergabung menganjurkan program pertukaran budaya di kalangan pelajar dari beberapa sekolah terkemuka dari Pakistan, India, China, Vietnam, Thailand, Arab Saudi dan Indonesia.

Buat julung kali, kolej berkenaan akan menjadi tuan rumah kepada pertemuan pelajar di peringkat antarabangsa selama seminggu bermula 24 Ogos depan.

Program pertukaran budaya itu membuka peluang pelajar menyelaras kegiatan penting membabitkan pelajar membabitkan negara lain, tanda peningkatan kemahiran pengurusan mereka dalam program kepemimpinan peringkat kebangsaan sebelum ini.

Pengetuanya, Mohd Rauhi Mohd Isa, berkata guru boleh merancang program yang difikirkan baik untuk pelajar tetapi senarai kegiatan yang banyak tidak memberi manfaat jika tidak mendapat kerjasama anak didik.

"Kolej ini memang sudah terkenal cemerlang dalam akademik seperti yang terbukti dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia.

"Sebagai Sekolah Kluster, watak yang kami tonjol dilaksanakan menerusi program yang dapat menggilap bakat pelajar dalam program kepemimpinan sama ada membabitkan khidmat sosial atau kebajikan untuk masyarakat atau program dalaman sesama pelajar.

"Antaranya kepemimpinan, komunikasi dan bimbingan untuk pelajar Tingkatan Satu hingga Empat sebagai persediaan sebelum mereka memimpin pelbagai kelab atau persatuan," katanya ketika ditemui di Kuala Kangsar, baru-baru ini.

Antara program khidmat masyarakat yang sudah dianjurkan pelajar ialah di Kampung Pagi dan Sekolah Kebangsaan (SK) Ketior di Taman Negara Pahang.

Pelajar kolej itu juga mengadakan program sekolah angkat di SK Hulu Kenas dan SK Kuala Kenas, di Kuala Kangsar serta SK Kampung Kenang (Orang Asli) di Sungai Siput, Perak.

MCKKMohd Rauhi berkata, kemuncak kepada latihan kepemimpinan pelajar ialah pemilihan penjawat dalam Kesatuan Pelajar Kolej Melayu yang dilangsungkan seperti pilihan raya kecil.

Selain penekanan kepada aspek kepemimpinan, beliau berkata, MCKK menyediakan banyak permainan sukan daripada bola sepak, ragbi, kriket, hoki, tenis, badminton, ping pong, olahraga hinggalah polo air.

Pasukan bola keranjang kolej itu muncul juara lima tahun berturut-turut dalam kejohanan Sekolah Berasrama Penuh, iaitu sejak 2004.

Katanya, pasukan ragbi sekolahnya pula muncul naib juara kejohanan sekolah Perak berikutan pasukan utamanya mengadakan pertandingan tahunan dengan Kolej Vajiravudh, Thailand ketika kejohanan terbabit.

"Kalau boleh, MCKK mahu menjuarai semua kegiatan kokurikulum sama sukan atau orkestra dan sebagainya. Kalau kalah pun, kita kalah dengan bergaya.

"Semua pencapaian ini dilakukan dengan kerjasama banyak pihak termasuk Persatuan Murid Tua MCKK (MCOBA) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru," katanya.

MCKK adalah satu-satunya sekolah di negara ini di bawah naungan Majlis Raja-Raja dengan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah sebagai Pengerusi Lembaga Pengelolanya.

Satu lagi keunikan kolej berkenaan ialah kebenaran Kementerian Pelajaran untuk MCKK menawarkan program International Baccalaurate, iaitu program prauniversiti yang diiktiraf oleh universiti seluruh dunia.

Zemanta Pixie

No comments:

Post a Comment