19 July 2008

Sekolah Dato' Abdul Razak - SDAR

Kecemerlangan Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Seremban, Negeri Sembilan, dalam bidang akademik sememangnya sudah terbukti, malah pernah dinobatkan sekolah terbaik peringkat kebangsaan bagi pencapaian Penilaian Menengah Rendah 2003.

Namun di samping menumpu sepenuh komitmen memburu kejayaan akademik, SDAR turut gigih mengasah bakat dan mengembangkan potensi pelajarnya dalam bidang kokurikulum sehingga prestasi mereka bukan saja menyerlah pada peringkat kebangsaan tetapi juga di arena antarabangsa.

Sekolah berasrama penuh berstatus kluster itu sudah tidak asing lagi sebagai antara `sekolah jaguh’ dalam sukan ragbi, bahkan pelajarnya diberi kepercayaan menggalas cabaran pasukan Malaysia ke kejohanan antarabangsa di luar negara.

Bagi Kejohanan Ragbi Remaja Antarabangsa di Dubai, tahun lalu, dua pelajar SDAR terpilih menyertai pasukan negara, iaitu Ahmad Syahmi Ramli yang ketika itu berada dalam Tingkatan Lima dan Mohd Iftiffar Rosle (Tingkatan Empat).

Lebih membanggakan, Mohd Iftiffar dianugerahkan `Pemain Terbaik Sepanjang Kejohanan’ untuk Kejohanan Ragbi Bawah 18 Tahun Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia pada tahun sama.

Nama SDAR terus harum apabila ayam tambatan itu sekali lagi dipilih Kesatuan Ragbi Malaysia menyertai pasukan negara ke Kejohanan Ragbi Remaja Antarabangsa di Korea Selatan, November depan.

Pengetua SDAR, Azam Md Atan, berkata pelajar sekolah itu menjalani proses penyaringan, mengenal pasti bakat dan mengasah potensi dalam sukan ragbi dari seawal kemasukan Tingkatan Satu lagi.

Beliau berkata, ada lima pasukan ragbi berstatus elit di sekolahnya yang dikelompokkan sebagai berprestasi tinggi serta berpengalaman menyertai pertandingan di luar sekolah, terutama pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Pasukan ragbi berkenaan dikategorikan kepada bawah 18 tahun, bawah 16 tahun, bawah 15 tahun, bawah 14 tahun dan bawah 13 tahun dengan masing-masing dianggotai 25 pemain.

“Begitupun, ada banyak pasukan ragbi lain ditubuhkan mengikut rumah sukan atau kelas berikutan rata-rata pelajarnya begitu meminati sukan ini, menepati usaha menjana barisan pemain pelapis,” katanya yang juga Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua-pengetua Sekolah Menengah Malaysia.

Bagi memastikan mutu permainan pasukan ragbi SDAR terus meningkat mencapai standard dunia, Azam berkata, sekolah itu menjalinkan kerjasama erat dengan institusi pendidikan elit di Thailand, King’s College, sejak 1977.

Katanya, pertandingan persahabatan kerap diadakan antara SDAR dan King’s College yang tidak asing lagi dengan status jaguh sukan ragbi di Thailand, di mana kedua-dua institusi itu silih menjadi tuan rumah.

Beliau berkata, SDAR berjaya meraih kemenangan dalam pertandingan persahabatan dengan kolej itu pada 1989, selain pernah mencatat kenangan manis mengalahkan pasukan Singapura, Jepun, Hong Kong, Fiji dan Korea Selatan.

“Seperkara menarik ialah pasukan ragbi sekolah ini mendapat khidmat latihan secara sukarela daripada alumni yang berpengalaman luas dalam bidang sukan berkenaan.

“Antara mereka terbabit ialah seorang yang kini bertugas sebagai majistret di Putrajaya dan seorang lagi pensyarah di institut pendidikan guru.

“Meskipun sudah bukan lagi warga SDAR, mereka tetap bersemangat terus menjana tradisi kecemerlangan pasukan ragbi sekolah ini tanpa sebarang bayaran, malah sanggup mengambil cuti kerja menjelang suatu perlawanan,” katanya.

Namun, selain tumpuan terhadap sukan ragbi, Azam menjelaskan, kerjasama dengan King’s College turut meliputi program pertukaran guru dan pelajar, selain perkongsian maklumat mengenai sistem pengurusan asrama yang berkesan.

Sejajar matlamat pengantarabangsaan, beliau berkata, SDAR yang berpegang teguh kepada slogan `Terbilang Tradisi Kami’ juga melebarkan sayap hubungan dengan institusi terkemuka di Singapura, Raffles Institution mulai tahun lalu di mana tumpuan akan diberi terhadap program kerjasama berkaitan bidang bahasa Inggeris.
Zemanta Pixie

No comments:

Post a Comment