15 June 2008

Sekolah Seni Lahir Insan Berbakat

Sekolah Seni Johor Bahru, antara dua sekolah seni pertama seumpamanya di Malaysia selain Sarawak, dan baru-baru ini tampil memperlihatkan bakat kesenian 73 pelajarnya apabila mempersembahkan pertunjukan seni teater menarik dan 'choral speaking' yang menjadi kurikulum pendidikan seni sekolah itu di sini.

Menerusi gerak tari disertai lakonan dan bertutur dalam bahasa Inggeris, teater mereka berjaya menusuk jiwa penonton yang terdiri daripada ibu bapa pelajar sendiri, yang hadir ke sekolah di penempatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mohd Khalid, semata-mata untuk menonton persembahan anak mereka.

Kemunculan pelajarnya lengkap berpakaian kostum merah dihias 'sequin' dan sarung panjang hitam memainkan peranan masing-masing memukau penonton sehingga menerima tepukan gemuruh di setiap babak.

Menariknya, di sebalik tabir, setiap langkah dan kelancaran teater itu, ia diarah dan dipimpin pengarah teater yang terdiri daripada kalangan pelajar itu sendiri iaitu Nur Amalina Abdul Halim, 13, yang berasal dari Kuala Lumpur.

"Bukan mudah mencapai kejayaan ini, namun, kami berjaya melakukan yang terbaik dan kami amat berpuas hati," kata Nur Amalina.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama memuaskan gabungan keseluruhan rakannya di kelas Zamrud Satu, antaranya terdiri daripada pelakon dan kru yang mengawal muzik latar, pencahayaan serta keadaan pentas, penghasilan kostum, dan lakonan.

Amalina berkata, mereka hanya diberi masa enam minggu untuk melakukan persiapan bagi keseluruhan persembahan teater berkenaan termasuk pemilihan lagu sendiri, latihan dialog,dan pemilihan pelakon.

Menggunakan pengalamannya sebagai ahli teater muzikal dikenali Tok Rimau, di Teater Sanggar Fauziah Nawi (Stefani) Kuala Lumpur, Nur Amalina menyahut cabaran mengetuai rakannya menjayakan lakonan teater itu.

Sambil dibantu skrip dan bimbingan guru drama dan teater, Siti Jauhara Jamian, seluruh pelajar sekolah seni terbabit mempelajari setiap ketelitian langkah perlu, bermula daripada penyediaan latar dengan melukis di kadbod, kostum, koreografi, dan perhiasan diri.

Nur Amalina berkata, beliau langsung tidak kekok mengarah rakannya walaupun kadang-kala ada saja masalah yang timbul.

"Cabarannya ialah barada di sisi rakan dan memberi motivasi apabila mereka memerlukannya kerana ada masanya, mereka letih dan tidak yakin untuk berlakon atau membantu dari segi teknikal bagi teater ini," katanya.

Pada masa sama, kelas Nilam Satu turut mempersembahkan pertunjukan 'choral speaking' bertajuk 'Exam Fever' menyelitkan pelbagai nilai dan budaya termasuk gerak tarian zapin, liuk-lentok sepohon pokok ditiup angin serta gerakan memukau seekor ular.

Sementara itu, Siti Jauhara berkata, beliau gembira kerana pelajar sekolah itu bukan saja berkebolehan tetapi juga rajin dan komited dalam menjalankan persembahan itu pada masa yang ditetapkan.

"Ini kerana drama yang dipersembahkan menjadi faktor penilaian terhadap setiap pelajar dalam kurikulum pendidikan kesenian itu," katanya.

Sekolah Seni Johor Bahru adalah sekolah projek perintis Kementerian Pelajaran yang diwujudkan selaras usaha mengembangkan bakat kesenian di kalangan pelajar.

Di sekolah ini, pelajar didedahkan Kurikulum Pendidikan Kesenian merangkumi empat bidang iaitu Seni Visual, Muzik, Tarian dan Teater yang menekankan pendidikan asas dari segi persepsi estetik, aplikasi seni, ekspresi kreatif dan seni dalam kehidupan.

Pelajar sekolah terbabit menjalani pengajian mereka seperti sekolah lain bermula jam 7.30 pagi hingga 1 tengahari sebelum mengikuti kurikulum pendidikan kesenian dari jam 2.30 hingga 4.30 petang.

6 comments:

  1. sekolah nie sekolah cam na eh?

    ReplyDelete
  2. er,tarian mcm mna yg diajar?

    ReplyDelete
  3. sekolah nie best ark?

    ReplyDelete
  4. Caner nak join erk???

    ReplyDelete
  5. MAcam mana nak daftar sekolah ni ??
    Boleh daftar lg x ?

    ReplyDelete
  6. sekolah seni ini menitik beratkn kesenian dan juga akademk..plajar yg mmasuki skolah ini perlu melalui proses uji bakat untuk mmastikan bakal plajar yg t'pilih btul2 brbakat..minimum kmasukan ialah kputusan upsr minimum 3A... bidang akademik juga dititik beratkn..bg kputusan pmr pada tahun 2009,sekolah seni telah b'ada d.dlm kelompok 15 t,baik perngkat negeri dengan pncapaian 100% lulus kesemua subjek...

    ReplyDelete