07 May 2009

Sejarah High School Bukit Mertajam

Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi (SMKT) Bukit Mertajam atau lebih dikenali sebagai High School Bukit Mertajam (HSBM) ditubuhkan 82 tahun lalu iaitu 18 Januari 1927.

HSBM adalah sekolah kerajaan pertama yang diwujudkan di Pulau Pinang (tanah besar) menerima kumpulan pelajar pertama seramai 385 murid daripada pelbagai kaum untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sekolah menengah.

Hari ini, HSBM mempunyai lebih 1,000 pelajar yang menuntut dalam tingkatan satu hingga ke tingkatan enam.

Walaupun rekaan asal bangunan sekolah itu diambil daripada sekolah rendah di Jalan Rangoon, Singapura namun bangunan lama sekolah yang terletak di blok C hari ini dikekalkan.

Ia juga diisytiharkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 14 Mac baru-baru ini sebagai Bangunan Warisan sekolah.

Harold Ambrose Robinson Cheeseman adalah individu yang bertanggung jawab menubuhkan HSBM kerana ketika itu, sebagai Pengarah Pelajaran Tanah Melayu, Harold Ambrose merangka pelan, perancangan dan pengisian sekolah tersebut.

Ketika itu, sekolah hanya menerima murid-murid lelaki sahaja.

Pengetua atau Guru Besar pertama HSBM ialah Edgar De La Mothe Stowell yang berpengalaman luas mentadbir sekolah awam seperti Sedbergh English Public School. Beliau turut terkenal dengan penekanan disiplin yang tinggi di kalangan pelajar yang belajar di sekolah awam.

Bangunan asal sekolah diperbuat daripada kayu, dibina pada 1926 terletak di atas bukit dan menghadap ke Bukit Mertajam dan tiga tahun selepas selesai kerja-kerja pembinaan, bangunan itu dijadikan dewan sekolah.

Ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 sehingga tentera Jepun menyerah kalah kepada British pada tahun 1945, kawasan HSBM dijadikan tempat untuk menempatkan tentera Australia.

Sekolah pula dipindahkan ke kawasan sawah padi di belakang Hospital Daerah Bukit Mertajam. Menjelang 13 Disember 1941, Pulau Pinang dibom dan saban hari, murid-murid sekolah dapat melihat jet pejuang 'Zero Japanese Zero' milik tentera udara Jepun, melintasi ruang udara Bukit Mertajam menuju ke pulau.

Selepas tentera Jepun menyerah kalah pada September 1945, sekolah dibuka semula dan menerima pendaftaran murid-murid yang ingin melanjutkan pelajaran mereka. Sebelum D.K. Swan tiba pada tahun 1946, pemangku tugas guru besar sekolah dilaksanakan oleh Cheong Hong Onn.

Setahun selepas bertugas, D.K. Swan digantikan oleh J.E. Tod yang menggalas tanggungjawab sebagai guru besar HSBM dari tahun 1947 hingga 1950.

HSBM sebenarnya mempunyai bilangan Guru Besar yang ramai sejak ia ditubuhkan.

Dan Pengetua HSBM hari ini ialah Mohd. Ghazali Abu Bakar. Selain Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang pernah belajar di HSBM, bekas Ketua Polis Malaya dan Singapura, Tun Mohd. Salleh Ismail, juga pernah menuntut di sekolah tersebut.

Sumber : Utusan Malaysia

1 comment:

  1. hai, saya juga gemar mangkaji latar belakang sekolah inggeris di malaysia, saya juga mengumpul lencana sekolah inggeris dan gambar banggunan sekolah terebut, sekolah yang paling saya gemari ialah SMK Victoria KL, kerana minat yang mendalam, saya telah mendaftar masuk ke sekolah tersebut untuk tahun hadapan...

    ReplyDelete