Image via Wikipedia
Proses pendaftaran pelajar terbabit berlangsung serentak di 54 SBP seluruh negara, 10 Februari 2009 Selasa lalu.Tinjauan Berita Harian di Sekolah Menengah Sains Seri Puteri (Seseri), Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur mendapati pendaftaran bermula seawal jam 8 pagi lancar termasuk sesi taklimat yang turut dihadiri ibu bapa pelajar terbabit.
Pengetua Seseri, Zuraidah Mohamad, berkata pelajar dan ibu bapa didedahkan dengan persekitaran dan pencapaian sekolah termasuk akademik, kokurikulum serta hal ehwal pelajar.
Selain guru, katanya, proses pendaftaran dibantu pelajar senior yang berperanan sebagai ‘house sister’ kepada setiap pelajar baru.
“Kita ingin biasakan pelajar baru dengan persekitaran sekolah dengan cepat dan itulah peranan yang dimainkan setiap house sister yang dipilih.
“Pengisian lain termasuk peraturan sekolah dan asrama, sistem pembelajaran dan pengenalan subjek yang didedahkan menerusi Minggu Asimilasi selama dua minggu bermula kelmarin,” katanya.
Turut sama melakukan pemantauan ialah Timbalan Pengarah, Bahagian Pengurusan Sekolah Kluster dan SBP, Kementerian Pelajaran, Norlia Mohd Shuhaili.
Pelajar Nuruljannah Mohd Shaffie dari Ipoh, berkata tawaran ke SBP sememangnya ditunggu-tunggu selepas mencatat keputusan cemerlang 8A dalam PMR, tahun lalu.
“Seseri adalah SBP pilihan saya kerana sekolah ini telah melahirkan ramai nama besar dalam pelbagai bidang.
“Saya bangga belajar di sekolah ini dan biarpun segala-galanya masih baru, saya yakin mampu berdepan suasana tinggal di asrama termasuk persaingan sihat bersama rakan lain,” katanya.
Sementara itu, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Choh, Rawang, Selangor Nur Amalina Abdul Malik, pula mengakui tidak sabar untuk memulakan pembelajaran.
Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga, dia tidak akan menjadikan faktor itu sebagai halangan, sebaliknya penguat semangat dalam mengejar kejayaan.
“Pengorbanan ini besar ertinya bagi saya. Jasa ibu bapa perlu dibalas dengan kecemerlangan. Di sini juga saya akan belajar berdikari dalam semua perkara,” katanya.
Sumber : Berita Harian
No comments:
Post a Comment