15 October 2008

SMK Penang Free Laksana Pelan Pembelajaran Baru

Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free (Penang Free School), Pulau Pinang akan melaksanakan pelan pembelajaran baru bagi mengekalkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum pelajar.

Penang Free SchoolImage via WikipediaMenerusi pelan itu, semua pelajar Tingkatan Satu akan diajar sebahagian sukatan mata pelajaran tingkatan dua, manakala pelajar Tingkatan Dua pula mempelajari sukatan pelajaran tingkatan tiga.

Pengetuanya, Ramli Din, berkata pelan berkenaan bertujuan mendedahkan pelajar kepada sebahagian subjek tahun berikutnya.

Katanya, pendekatan itu mampu membantu pelajar bersedia lebih awal sebelum menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah dan Sijil pelajaran Malaysia.

"Pada peringkat itu pelajar memerlukan banyak masa untuk mengulangkaji dan memberi tumpuan kepada peperiksaan.

"Menerusi pelan ini pelajar yang berada di tingkatan tiga, hanya perlu menghabiskan baki 60 peratus sukatan pelajaran.

“Pelajar Tingkatan Empat pula mempelajari kira-kira 20 peratus sukatan pelajaran tingkatan lima,” katanya.

Penang Free School yang diasaskan Reverend Robert Sparke Hutchings pada 1816 adalah sekolah Inggeris pertama ditubuhkan di Malaysia.

Pada Mac 2007, sekolah itu mendapat pengiktirafan Kementerian Pelajaran apabila dipilih sebagai sekolah kluster.

Ramli yakin pelajar tidak akan menghadapi masalah untuk mempelajari subjek tambahan kerana mereka adalah sebahagian pelajar cemerlang yang memasuki sekolah berkenaan.

Ramli yang menjalankan tugas sejak 2006 berkata, semua guru sekolah itu juga terbabit dalam usaha meningkatkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum sekolah berkenaan.

"Saya harap prestasi akademik pelajar akan meningkat walaupun tidak mencapai 100 peratus cemerlang," katanya.

Bagi melahirkan pemimpin berwibawa pada masa depan, Ramli berkata, beliau mewajibkan semua pelajar mengambil bahasa antarabangsa seperti Sepanyol, Perancis dan Arab, selain Tamil, Mandarin serta bahasa Inggeris.

"Saya berharap pelajar mempunyai keyakinan tinggi apabila ke luar negara, sama ada untuk menyambung pelajaran atau berkerja," katanya.

Ketika ini sekolah itu sedang menyiapkan Taman Ilmu sebagai tempat rehat dan mengulangkaji pelajaran.

Antara kemudahan disediakan ialah tempat duduk berbumbung dan pentas untuk persembahan orkestra atau pancaragam.

Penang Free School kini mempunyai 1,354 pelajar termasuk kelas khas untuk pelajar yang aktif dalam kegiatan sukan.

Sistem pembelajaran kelas berkenaan dirancang khas bagi memberi tumpuan kepada pelajar yang kerap meninggalkan bilik darjah kerana menyertai kejohanan sukan.
Reblog this post [with Zemanta]

No comments:

Post a Comment