27 January 2008

Cerita Di Asrama

Tahun 2008 telah masuk hampir sebulan, tahun ini aku akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan ini bermakna sudah empat tahun aku belajar di sekolah asrama. Tahun ini masuk tahun yang kelima. Baru hari tu pelajar2 tingkatan satu baru mendaftarkan diri. Melihat mereka membuat aku teringat kembali masa aku sendiri mula2 masuk di sini.

Masa itu macam2 rasa ada, gembira, seronok, bimbang dan risau juga tidak lupa semangat untuk belajar bersungguh2. Tapi aku boleh dikatakan bernasib baik kerana tidak mengalami peristiwa buruk sebagaimana yang dialami oleh beberapa orang rakan satu batch aku. Dari form 1 sampai form 4 ada lebih 15 orang kawan2 aku yang minta tukar sekolah dan ada juga yang dibuang sekolah.

Belajar di sekolah asrama ini sememangnya ada baik dan buruknya tapi bagi aku yang baik lebih banyak. Apa yang penting macamana kita membawa diri kita dan dengan siapa kita berkawan rapat. Di sini kita berkumpul dengan semua yang pandai2 maklumlah semua dapat 5A masa UPSR dulu. Masa PMR pula hampir semua dapat samada 9A, 8A atau 7A, kira bijak2 budak2 yang belajar di asrama ni.

Walaupun begitu pandai tak semestinya kami bebas daripada tidak melakukan kesalahan. Bila dah bijak tu otak pun lebih panjang untuk berfikir untuk berbuat sesuatu. Sebut sahaja masalah disiplin pelajar sekolah sekarang, semuanya ada di sekolah aku. Merokok, mencuri, memukul, bergaduh, keluar asrama tanpa kebenaran (fly), couple, jambu, beromen dan homoseks semuanya ada.

Ada di antaranya aku ada cerita dalam blog ini dan ada yang aku belum cerita lagi. Tengoklah nanti bila2 aku ada kelapangan aku akan menulis tentang lebih banyak pengalaman aku dan kawan2 aku di asrama ni. Jika pembaca yang ada pengalaman semasa belajar di sekolah berasrama penuh mungkin boleh juga dikongsi bersama dengan menghantar emel kepada aku di matsbp(at)gmail(dot)com.

26 January 2008

Universiti Asmara

Pantai Dalam dan Kampung Kerinchi, antara penempatan yang menjadi tumpuan penduduk Melayu di Kuala Lumpur. Hasil pembangunan pesat, kedua-dua kawasan ini dipenuhi rumah pangsa dan kondominium yang sebahagian daripadanya disewa oleh penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Mereka tinggal menyewa beramai-ramai dan berkongsi kenderaan ke kuliah. Oleh kerana ibu bapa jauh di kampung, mereka bebas bergaul hingga ada yang terbabas kepada gejala sosial dan moral.

Masih ingat lagi insiden berasmara di tangga rumah pangsa? Di situlah kejadian ini berlaku. Malah, bukan kes itu saja, banyak lagi kes penuntut universiti berasmara di kawasan itu dilaporkan sebelum ini.

Topik Universiti Asmara ini dibincangkan dalam Keluarga Di 9 (KD9) pada Rabu lalu bersama pengacara Benjy dan tetamu termasuk Pengetua Pusat Perlindungan Remaja, Kem Bina Insan (Kewaja), Yahaya Mohamed dan Ketua Biro Ikhtisas Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Dr Nur Izura Udzir. Turut menjadi tamu ialah pemimpin pelajar, Mohd Zaid Mohd Idrus dari Universiti Kebangsaan Malaysia UKM).

“Tak dapat tinggal di kolej atau asrama, mereka memilih untuk tinggal di Universiti Asmara!,” kata Benjy.

Kisah Zara (bukan nama sebenar) menyedarkan banyak pihak mengenai kelonggaran akhlak remaja walaupun mempunyai pencapaian akademik membanggakan.

Zara berasal dari negeri pantai timur dan mengikuti pengajian kejuruteraan, tetapi disebabkan cinta yang berkobar-kobar, sanggup menyerahkan maruah diri kepada lelaki yang dicintainya.

“Cinta kami dihalang oleh ibu bapa saya kerana mahu saya menghabiskan pengajian dahulu walaupun ibu bapa lelaki itu bersetuju saya berkahwin dengannya,” kata Zara kepada wartawan KD9, Sharifah Nur Syed Ali yang menemuinya di Rumah Kewaja.

Zara kini hamil lapan bulan hasil perhubungan intimnya dengan teman lelaki yang kini tidak dapat dihubungi lagi.

Zara berkata, mereka bebas bergaul kerana dia belajar di IPT yang jauh dari kampung halaman. Apabila ibu bapanya mengetahui nasib anak mereka, Zara dihantar ke Kewaja untuk melahirkan bayi yang kemudian akan diserahkan kepada keluarga angkat.

Di Kewaja, rumah perlindungan yang dikendalikan Yahaya dan isterinya, Ruzitah Baharum, Zara dan remaja lain yang hamil daripada perhubungan luar nikah dilatih menguruskan diri dan menjalani sesi kaunseling bagi membantu mereka kembali ke jalan yang benar serta meneruskan kehidupan selepas melahirkan anak.

Bagi Zara, pengajaran daripada episod pahit dalam hidupnya ini akan dijadikan pedoman pada masa depan.

Sementara itu, seorang lagi remaja senasib, Intan (bukan nama sebenar) hamil selepas sebulan berkenalan dengan seorang lelaki ketika dia menuntut di sebuah politeknik di utara tanah air.

“Sejak awal berkenalan lagi, dia memang banyak kali mencuba untuk melakukan hubungan seksual, tetapi saya tidak benarkan. Bagaimanapun, pada satu malam, saya tidak sedar dia memasukkan pil khayal ke dalam makanan saya.

“Dalam keadaan separuh sedar, saya mendapati dia membawa saya ke rumahnya dan apabila saya sedar keesokan harinya, semuanya sudah terlambat,” katanya ketika ditemui di Kewaja.

Yahaya berkata, sejak beroperasi pada 2003, lebih 100 penuntut wanita IPT yang hamil luar nikah datang mendapatkan perlindungan di Kewaja.

“Kemunculan remaja hamil luar nikah di rumah Kewaja boleh dikatakan ‘bermusim’. Apabila ada perayaan, misalnya, tahun baru seperti baru-baru ini, beberapa bulan akan datang datanglah mereka ini,” katanya.

Katanya, satu punca gejala ini ialah kejutan budaya penuntut yang datang dari luar bandar. Daripada persekitaran terkongkong, mereka yang mendapat kebebasan secara tiba-tiba apabila memasuki IPT dan tinggal beramai-ramai di rumah sewa, mudah dipengaruhi fenomena cinta kampus.

Apabila terlanjur, ramai yang memilih jalan mudah dengan menggugurkan anak secara haram atau membuang bayi.

Selain mendedahkan gejala ini, KD9 mengupas isu kekosongan jiwa remaja yang tiada pengisian positif ketika mereka menuntut di IPT.

Ini berbeza dengan era 80-an yang mana ramai anak muda dipacu oleh perjuangan dan ideologi menerusi pertubuhan seperti Abim dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Satu masa dulu, lagu perjuangan seperti ‘Anak Kecil Main Api’ membakar semangat anak muda termasuk pemimpin pelajar di IPT untuk berjuang demi bangsa dan agama. “Anak muda kini seolah-olah tiada perjuangan, tiada haluan. Sebab itu ramai lebih suka merempit dan terbabit dengan gejala moral yang membimbangkan. Di manakah Abim dalam kemelut sosial ini?” kata Benjy ketika mengajukan soalan kepada Dr Nur Izura.

Dr Nur Izura berkata, Abim masih giat menjalankan pelbagai program pembangunan ummah walaupun kian kurang mendapat pendedahan media.

Katanya, jika diberi ruang yang lebih terutama di IPTA dan IPTS, Abim bersedia mengadakan kegiatan pengisian jiwa dan minda remaja.

Sumber: Berita Harian

22 January 2008

Jaguh Ragbi, Cemerlang Akademik

Oleh Ruhaiza Rusmin

USIA kelab ragbi Sekolah Berasrama Intergrasi Gombak (SBIG), Selangor masih baru namun, kejayaan dicapai cukup membanggakan sekali gus membuka mata pihak lawan.

Walau pun hanya ditubuhkan empat tahun lalu, kemampuannya menundukkan pihak lawan selain beraksi di peringkat antarabangsa sangat mengagumkan.

Kejayaan itu hasil kesungguhan dan komitmen pemainnya yang sentiasa berusaha serta berlatih keras di samping sokongan padu sekolah.

Guru penasihat kelab berkenaan, Suharman Husin, berkata usia penubuhan yang masih baru bukan halangan kepada pemain menunjukkan kemampuan.

Menurutnya, walau pun terpaksa berdepan dengan pihak lawan yang berpengalaman, pemain tidak pernah gentar malah berusaha menunjukkan mutu permainan terbaik.

“Kalau dilihat pada usia, memang kelab ini masih terlalu hijau, namun itu bukan masalah utama pemain menunjukkan persembahan. Yang penting kemahuan tinggi untuk bermain dan berlawan.

“Kalah atau menang itu bukan soalnya. Kami tidak pernah menjadikan usia sebagai sandaran, malah itu juga satu kelebihan kerana pemain tidak akan tertekan dan boleh bermain dengan 'relaks'.

“Bermula daripada kelab tidak dikenali, nama kami meniti dan digeruni di kalangan lawan. Pencapaian itu pasti membanggakan dan menaikkan lagi semangat pemain,” katanya.

Sebagai mekanisme memperbaiki kemahiran, pemain berlatih setiap hari dengan tunjuk ajar jurulatih berpengalaman. Menjalani latihan tanpa jemu, akhirnya memberi kelebihan kelab ini menuai hasil dengan barisan pencapaian mengagumkan.

Antaranya johan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Bawah 15 tahun, naib johan Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) kategori sama, johan MSSN bawah 16 tahun serta terpilih antara lima pasukan sekolah terbaik menyertai jemputan Kejohanan Ragbi Jemputan Antarabangsa ( Cobra) tahun lalu.

Mengenai kejayaan itu, Suharman berkata, terasnya melalui penerapan disiplin tinggi pemain serta minat ditunjukkan sewaktu pemilihan. Pemain mendapat suntikan semangat daripada pelbagai pihak khususnya ibu bapa yang percaya kokurikulum juga mampu menyumbang kelebihan dalam pembentukan jati diri.

“Asas disiplin adalah paling utama ditekankan selain minat menyertai kelab ini dan ia menjadi kriteria utama ditekankan sewaktu pemilihan dibuat. Manakala faktor fizikal bukanlah satu kemestian.

“Sama ada fizikal besar atau kecil itu bukan ukuran kerana setiap posisi ada kelebihannya. Yang utama disiplin sebab kalau tidak, kejayaan seperti hari ini tidak mampu dicapai.

“Usia masih baru, pengalaman juga kurang tapi kami berbangga, dengan semangat yang ditunjukkan, mampu melepasi segala halangan hingga sampai tahap ini,” katanya.

Biar pun aktif menjalani latihan setiap hari, tumpuan pemain terhadap akademik juga dititik beratkan. Pemain yang gagal menunjukkan pencapaian akademik baik, tidak akan diberi peluang menyertai pertandingan.

“Syarat utama ialah perlu tunjukkan pencapaian cemerlang dalam akademik. Kami tidak mahu, kerana asyik bermain mereka melupakan pelajaran.

“Jika pencapaian akademik tidak memuaskan, tiada peluang menyertai mana-mana pertandingan. Itu juga sebagai satu hukuman berbentuk psikologi.

“Pemain tahu tanggungjawab itu, walaupun terpaksa menjalani latihan, penumpuan akademik tetap diutamakan dan pencapaian akademik mereka cemerlang dan konsisten,” katanya.

NAMA SEKOLAH: Sekolah Berasrama Intergrasi Gombak, Selangor
TARIKH DITUBUHKAN: 2003
PENGETUA: Norlia Mohd Suhaili
BILANGAN GURU: 66 orang
BILANGAN PELAJAR: 620 orang

KELAB: Ragbi
GURU PENASIHAT: Suharman Husin
TARIKH DITUBUHKAN: 2003
BILANGAN AHLI: 40 orang

Sumber: Harian Metro