PPSMI telah termaktub dalam pelajaran hasil keputusan dasar kerajaan Malaysia hasil Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002. Namun begitu pelaksanaan dasar pembelajaran baru itu mula dilaksanakan dengan perintisnya pelajar murid Tahun 1 untuk peringkat Sekolah Rendah manakala Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 rendah untuk peringkat Menengah pada tahun 2003. Pelaksanaan penuh PPPSMI ialah pada tahun 2007 bagi peringkat Sekolah Menengah dan tahun 2008 bagi peringkat Sekolah Rendah.
Pihak kerajaan mengatakan rasionalnya penukaran bahasa pengantar bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris adalah dasar keperihatinan mereka terhadap pembangunan sumber amnusia dalam era globalisasi untuk mencapai taraf negara maju setanding dengan negara-negara dunia pertama.
Selain itu semua sedia maklum bahawa matapelajaran Sains dan Matematik menjadi asas dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Acapkali ada saja penemuan baru dan inovasi dalam bidang tersebut, dan semua ini hanya boleh didapati dalam versi Bahasa Inggeris. Tambahan pula Bahasa Inggeris telah menjadi bahasa perhubungan antarabangsa jadi ini secara tidak langsung akan mempercepat perolehan maklumat dalam bidang ini.
Kesimpulannya, dengan terlaksananya dasar PPSMI ini maka pelajar-pelajar dapat bertambah maju dalam bidang Sains dan Matematik ini kerana sebahagian besar sumber bagi kedua-dua bidang ini ialah Bahasa Inggeris. Memang cukup membanggakan pencapaian ini jika dasar ini dapat dicapai oleh semua pelajar di seluruh pelusuk negara. Apa yang kita kerap kali dengar atau lihat di media massa kini hanyalah pandangan daripada sebelah pihak, bagaimana dengan mereka yang menghadapi kesukaran dengan terlaksananya dasar baru ini.
Oleh itu kajian yang “lebih” jujur dan tidak berkepentingan oleh pelbagai pihak termasuk oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron dan kajian Prof. Dr. Norhashimah Jalaluddin di bawah payung UKM-DBP misalnya menunjukkan pelajar-pelajar di bandar dan daripada keluarga berpendidikan tinggi mendapat manfaat dan kepentingan melalui dasar ini manakala majoriti yang menjadi mangsanya adalah Melayu kerana 70% mereka ini ialah penduduk luar bandar. Tambahan lagi jurang antara penduduk bandar dan luar bandar akan melebar.
Pernahkah kita terfikir Dalam tahun 60-an Kerajaan telah “mengusir” keluar tulisan jawi daripada bilik darjah. Akibatnya 40 tahun kemudian akhbar tulisan jawi menjadi tidak lagi berdaya maju, menjadi sisipan saja kepada akhbar tulisan rumi. Sekarang kerajaan sekali lagi “mengusir” keluar bahasa Melayu daripada bilik darjah “sains dan teknologi”. Kemungkinan besar 40 tahun lagi akhbar berbahasa Melayu tidak akan berdaya maju dan akan menjadi sisipan saja kepada akhbar Inggeris dan Mandarin. Pada waktu itu bahasa Melayu bukan lagi bahasa ilmu dan budaya tinggi. Sejarah akan mendera kita lagi.
Dalam satu kajian yang lain keputusan menunjukkan dasar PPSMI ini hanya mencatatkan sedikit sahaja peningkatan iaitu hanya sebanyak empat peratus sahaja. Selain itu dasar ini juga mengakibatkan para pelajar hilang rasa minat terhadap pelajaran Sains dan Matematik.
Apa pendapat anda para pembaca? Patutkah PPSMI diteruskan ataupun dimansuhkan. Semua ini bergantung kepada pendapat peribadi masing-masing.