Saya adalah salah seorang guru yang telah berkhidmat lebih 16 tahun di tiga buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Tujuan saya menulis adalah untuk membetulkan sikap pelajar dan penjaga terutama yang miskin atau kurang berkemampuan menolak tawaran ke SBP.
Semasa berbelas tahun di SBP, kami sering menghadapi keadaan di mana kami sendiri terpaksa menelefon atau pergi ke rumah pelajar tersebut (terutama pelajar miskin) atau menghubungi Guru Besar sekolah lama pelajar untuk memujuk mereka supaya menerima tawaran tersebut.
Sekiranya pelajar yang menarik diri terdiri daripada keluarga berada tidak menjadi masalah kerana mungkin mereka lebih berasa kondusif berada di rumah dengan segala kemudahan tersedia.
Apa jadi jika yang menarik diri itu adalah daripada pelajar yang kurang berkemampuan? Ia semestinya merugikan mereka.
Alasan yang diberi ketika menolak tawaran tersebut ialah masalah kewangan. Sekali dilihat memang senarai yuran tahunan yang disertakan bersama surat tawaran kepada para pelajar mencecah RM1,000. Sekira dilihat sekali imbas, memang kadar tersebut agak tinggi.
Namun begitu jika dikaji secara terperinci kadar tersebut amat berpatutan. Ia meliputi yuran makan, yuran persekolahan dan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Manakala yuran koperasi pula meliputi pakaian pelajar, cadar, sarung bantal, selimut, baju batik, buku tulis dan sebagainya.
Mana-mana pelajar miskin (pendapatan di bawah RM600), pihak Kementerian Pelajaran memperkenalkan Projek Khas (Projek Miskin) di mana sebahagian besar perbelanjaan di SBP akan ditampung oleh pihak kerajaan.
Pelajar-pelajar yang berkelayakan juga boleh mendapat tawaran biasiswa sama ada daripada pihak kementerian atau swasta.
Kerajaan juga menyediakan peruntukan yang besar untuk pelajar-pelajar SBP malah mereka boleh disifatkan sebagai anak emas.
Guru-guru di SBP telah ditanamkan dengan semangat supaya menghayati sepenuhnya misi dan visi penubuhan SBP iaitu sebagai pusat kecemerlangan pelajar. Sedangkan di sekolah harian sukar dijalankan seperti ini kerana kekangan waktu untuk pelajar makan tengah hari atau masalah mengumpulkan semula pelajar setelah selesai sesi persekolahan.
Ibu bapa dan pelajar perlu sedar mengenai kelebihan SBP di mana Kementerian Pelajaran sentiasa menekankan kecemerlangan pelajar termasuk mengadakan peperiksaan selaras. Program Kecemerlangan seperti Program Perfect Score, Nadwah Kepimpinan dan sebagainya diadakan untuk kecemerlangan pelajar.
Di SBP, anak kita dikawal dan diperhatikan oleh para warden 24 jam sehari tanpa jemu sehingga ada yang sanggup tinggal bersama pelajar di asrama.
Suasana pengajaran dan pembelajaran lebih baik dan berkesan dengan kemudahan yang disediakan seperti komputer sama ada di sekolah atau di asrama. Kegiatan kokurikulum dan bakat pelajar dapat diketengahkan kerana pelajar berada di asrama serta mudah diuruskan
Sebagai rumusannya, saya menyarankan kepada ibu bapa yang anak-anak mereka ditawarkan ke mana-mana SBP (terutama yang miskin) menerima tawaran tersebut. Jangan fikirkan tentang yuran persekolahan kerana ia tidak membebankan.
Jangan hanya dengar kata orang sebaliknya ibu bapa boleh berbincang dengan pihak sekolah. Sekiranya benar-benar bermasalah ibu bapa boleh menghubungi PIBG sekolah untuk mencari jalan penyelesaian. Berikan hak anak-anak kita untuk melanjutkan pelajaran ke SBP kerana ini adalah agenda nasional.
Jangan nafikan hak anak-anak kita. Jika sekiranya mereka kurang sesuai di SBP mereka boleh kembali ke sekolah harian. Berikan mereka peluang dahulu.
Artikel ini ditulis oleh Tuan Haji Bahar dari Peringgit, Melaka.