30 July 2008

SMK Aminuddin Baki

Sekolah sempena nama Pengarah Pendidikan pertama Tanah Melayu iaitu Aminuddin Baki menjadi sebutan atas pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mahupun Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), malah kekerapan merangkul kejayaan itu membolehkannya diiktiraf Sekolah Harian Terbaik Negeri dan Kebangsaan.

Sekolah berkenaan turut menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan termasuk Penghargaan Khas Perdana Menteri atas pencapaian cemerlang PMR (2003) dan tempat ketiga Anugerah Kualiti Menteri Pendidikan (Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Sekolah).

Usaha berterusan dilakukan bagi memperkasa kecemerlangannya dan bersempena sambutan jubli emas tahun ini, Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki (SMKAB) Kuala Lumpur merancang pelbagai program bagi mencapai sasaran sekolah kluster bertaraf dunia menjelang 2012.

SMK tertua di ibu kota itu turut menjalin usaha sama luar negara bagi meningkatkan mutu pelajaran, misalnya menjadi kembar Western Port Secondary College, Australia dan sering menerima kunjungan institusi pendidikan negara luar seperti dari Singapura, Indonesia, Pakistan serta pertukaran 20 pelajar dengan 20 sekolah di Tokyo, Jepun, pada hujung Mei lalu.

Bulan lalu, SMKAB mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya sekolah di Malaysia menerima kunjungan Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd sempena lawatan seharinya ke negara ini bersama delegasi negara itu dan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui.

Berbekalkan gelaran sekolah bestari contoh dan sekolah kluster yang dinobatkan Mac tahun lalu, warganya terus bersemangat mengharumkan nama institusi berkenaan dengan mengambil langkah memperkukuhkan kebitaraan sedia ada.

Kekuatan kokurikulum dikenal pasti pihak sekolah ialah dalam sukan renang, bola jaring dan catur akan terus diberi penekanan di samping meneruskan pencapaian cemerlang akademik.

SMKAB yang terkenal dengan sukan renang di kalangan klusternya pernah menggegarkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) apabila empat perenang adik beradik iaitu Shaza, Shafiq, Shahir dan Shalina Sulaiman merangkul 22 pingat emas pada Sukan Sekolah-sekolah WPKL 2006 dan lebih manis lagi apabila Shafiq dan Shahir terpilih mewakili negara pada sukan Perpaduan Islam Pertama.

Sebelum itu, pada 2005 Shahir mengharumkan nama sekolah setelah memenangi dua emas seterusnya mencipta rekod baru dalam acara 50 meter dan 100 meter kuak dada di Age Group Championships peringkat Asia Tenggara, di Manila, Filipina.

Pada 2006 pula Shahir berjaya meraih satu emas, perak dan gangsa di Sukan Malaysia (Sukma), manakala adiknya, Shalina pula memenangi satu emas dan enam perak di peringkat negeri ketika itu untuk melayakkannya untuk berjinak-jinak dengan kejohanan Sukma mengikuti jejak abangnya, Shahir.

Pengetua SMKAB, Latifah Mahfod, berkata pihaknya mengenal pasti dan mengasah bakat pelajarnya dalam sukan renang dan sukan lain seawal kemasukan mereka ke Tingkatan Satu lagi, selain mengadakan saringan dalam akademik berdasarkan keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah sejak 1987 selepas sekolah itu menjadi sekolah kawalan.

Katanya, antara perkara yang menarik ialah sekolah mereka tidak mempunyai kolam renang seperti sekolah sukan ataupun institusi elit lain, namun ia tidak menjadi penghalang kepada untuk mencapai keputusan yang baik seterusnya mengharumkan imej sekolah itu.

“Bagi mengekalkan reputasi baik dalam sukan renang pada masa depan, kami melatih pelajar yang berminat dan berbakat dengan mendapatkan khidmat jurulatih pakar di Kompleks Renang DBKL seminggu sekali.

“Selain itu, pasukan bola jaring juga sentiasa menjalani latihan yang bagi memastikan nama sekolah ini terus mengungguli sukan itu sekurang-kurangnya di peringkat WPKL.

“Pasukan bola jaring sekolah ini digeruni pasukan lain kerana kami pernah menjadi johan empat tahun berturut-turut pada 2003 hingga 2006 dan dua pelajar kami terpilih mewakili negara, sekali gus meraih perak pada kejohanan terbuka Asia di Taiwan pada 2006.

Sementara itu, pasukan catur sekolah itu pernah mewakili Malaysia ke Kejohanan Catur Sekolah-sekolah Asean di Singapura pada 2007, johan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) dan Sukma pada tahun sama.

Dalam perkembangan lain, Latifah menjelaskan beberapa pencapaian lain yang membanggakan tetapi tidak disenaraikan sebagai salah satu kebitaraan sekolahnya seperti gimrama, taekwondo dan sedoku di mana masing-masing pernah memenangi emas di peringkat MSSM, perak di Festival Taekwondo ke lapan di Korea pada 2006 dan Johan Brand’s Sedoku Challengge peringkat kebangsaan seterusnya mendapat tempat kelima di peringkat Asia Pasifik yang diadakan di Singapura, bulan lalu.

Menyedari banyak kejayaan dilakar sekolah itu, bekas pelajarnya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta beberapa badan korporat berkaitan sentiasa memberi sokongan berbentuk kewangan dan moral.

SMKABKL berjaya melahirkan ramai nama besar antaranya Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar; pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam dan komposer Fauzi Marzuki.

Fakta SMK Aminuddin Baki Kuala Lumpur
  • Ditubuhkan pada 1958 dengan nama Sekolah Menengah Melayu Kuala Lumpur
  • Pada 24 Mac 1964 ditukar kepada SMK Aminuddin Baki
  • Pada 1967 memperkenalkan aliran Tingkatan Enam
  • Perintis ‘Sistem Perisian Sumber Terbuka Linux (Bahasa Inggeris dan Sains) pada 1 Januari 2005
  • Gelaran diperoleh Sekolah Kawalan Penuh, Sekolah Magnet, Sekolah Tanpa Loceng dan Sekolah Bestari Contoh

7 comments:

  1. Nampaknya awak ni sangat banga dengan S.A.B... tapi apa yang saya tahu,sekolah ni memang ramai budak pandai,cuma buat masa sekarang ni makin ramai anak Lord yang menjadi2 and give a bad image to your school...

    x.o.x.o GadisGosip

    ReplyDelete
  2. go go aminuddin baki. huhuhu

    izzy, '06 student. :)

    ReplyDelete
  3. as an ex-sabian, i'm proud of this article..especially from my batch..
    good job dude..
    (2001-2005)

    ReplyDelete
  4. proud tO be SABian!!!!!!

    ReplyDelete
  5. Prond to be sabian too... (1999-2003)
    Tapi SANGAT MALU dgn attitude student SMKAB skrg bermula.

    ReplyDelete
  6. We used to conquer the whole of KL (Class of '98) for both in-school and out-of-school, not sure about that now :)

    -NiCK Raj-

    ReplyDelete