14 July 2008

Asrama Latih Pelajar Berdisplin Dan Berdikari

Kisah kejayaan dan kecemerlangan pelajar khususnya dari sekolah berasrama penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara dalam bidang akademik mahupun kokurikulum sering mengisi dada akhbar.

Siapa tidak cemburu melihat kejayaan itu, sekali gus sukar mengikis tanggapan masyarakat terhadap institusi cemerlang itu yang sememangnya sinonim dengan kehidupan asrama berbanding pelajar sekolah harian yang majoritinya selesa tinggal di rumah.

Kemudahan prasarana dan sistem pembelajaran teratur serta sistematik menjadi tarikan ibu bapa menghantar anak belajar di sekolah berasrama.

Meskipun diakui keupayaan pencapaian akademik pelajar yang menjalani kehidupan di asrama, persoalannya, apakah hanya pelajar berkenaan saja mampu meraih kecemerlangan?

Bagaimana pula dengan pelajar sekolah harian biasa, apakah mereka tidak mampu cemerlang sedangkan kurikulum yang dipelajari sama seperti diikuti pelajar di sekolah lain.

Pengarah Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kluster, Kementerian pelajaran, Datin Dr Siti Zaleha Abdullah Sani, berkata pelajar yang tinggal di asrama mempunyai banyak ruang atau peluang untuk belajar.

Katanya, menjadi sinonim di sekolah asrama adalah daya saing untuk belajar dan setiap pelajar bukan saja berlumba-lumba mencipta kejayaan malah kecemerlangan dalam bidang akademik masing-masing.

“Suasana kehidupan di asrama sesuai untuk membentuk pelajar agar lebih berdisiplin dan berdikari memandangkan mereka terpaksa menguruskan diri sendiri dengan baik.

“Begitu juga cabaran guru yang mendidik pelajar SBP, komitmen mereka amat setara dan tidak berbelah bahagi kerana berdepan dengan pelajar yang sangat komited dalam pelajaran.

“Gabungan itu secara tidak langsung dilihat sebagai satu kelebihan dalam mewujudkan persekitaran dan pembudayaan ilmu cemerlang,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, baru-baru ini.

Dari segi akademik, katanya, pencapaian pelajar SBP dalam Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah yang terbaik berbanding sekolah bukan SBP.

Malah katanya, jumlah pelajar yang memperoleh pencapaian semua A dalam mata pelajaran turut mencatat peningkatan setiap tahun.

“Ada yang menyoal mengapakah tidak ada pelajar SBP yang mendapat 17A1 dalam SPM? Jawapannya, kita mempunyai kriteria kecemerlangan akademik yang bersesuaian dan praktikal dengan tahap pengembangan psikologikal yang dilalui oleh peringkat umur pelajar. Oleh itu, pelajar SBP dibenarkan mengambil 10 kertas SPM saja,” katanya.

Menyentuh mengenai cabaran kehidupan di asrama, Siti Zaleha berkata, tinggal di asrama memerlukan ketabahan dan pengorbanan termasuk terpaksa berjauhan daripada keluarga.

“Inilah dugaan yang paling besar perlu dihadapi khususnya pelajar tingkatan satu kerana kebanyakan mereka tidak pernah berenggang dengan ibu bapa.

“Di sinilah pelajar benar-benar diuji ketahanan mental serta emosi dan keupayaan mereka mengatasinya membuktikan kekuatan serta keyakinan berdepan cabaran pada masa depan,” katanya.

Beliau turut mengakui kredibiliti SBP begitu kukuh sejak dulu lagi, seiring dengan tanggapan masyarakat yang menganggap SBP adalah tempat terbaik untuk mencerna kejayaan.

Penulisan Khairina Yasin dari Berita Harian
Zemanta Pixie

1 comment:

  1. Pengalaman belajar di SBP sememangnya satu kenangan manis yg tidak dpt dilupakan. Kita boleh lihat SBP-SBP premier spt MCKK,TKC,STAR,SDAR dan Alam Shah mempunyai persatuan bekas belajar yg kuat dan bersemangat menyokong alma mater mereka. Ini menunjukan ikatan dan rasa hutang budi yg tinggi bekas-bekas pelajar sekolah ini terhadap sekolah mereka. Kenangan belajar di SBP, berkongsi makan nasi kawah tidur di dalam dorm bersama-sama rakan2 , bangun pagi utk solat subuh dan kemudian ke kelas, turun ke kelas utk prep ptg dan malam , adalah pengalaman yg mendidik seorg pelajar utk lebih berdisiplin dan tahu menghargai nilai2 serta erti kehidupan. Tiada lagi makna harta atau pangkat kebesaran yg dimiliki ibu bapa, semua pelajar di SBP adalah sama dan diberi layanan yg tidak berbeza oleh warden dan pihak sekolah. Walaupun telah lama meninggalkan bangku sekolah namun kenangan di SBP akan terus terpahat dlm memori sehingga ke akhir hayat.

    ReplyDelete