Kehidupan di asrama memang menyeronokkan kerana selain mendapat ramai kawan, ia tidak membosankan dan dipenuhi pelbagai kegiatan yang diaturkan pihak pengurusan serta sekolah.
Rutin harian pelajar selalunya bermula seawal 5.30 pagi hingga 11 malam dengan pengisian pelbagai kegiatan bermatlamat memantapkan proses pembelajaran dan sahsiah diri seseorang pelajar.
Sedikit mungkin berbeza dengan asrama penuh yang menyediakan kemudahan selesa dan lebih baik kepada penghuninya sejajar dengan matlamat menyediakan suasana pembelajaran kondusif kepada pelajarnya.
Pelajar Sekolah Sultan Alam Shah (SSAS), Putrajaya, Afiq Amani Annuar berkata, kemudahan lengkap dan terbaik di SBP khususnya di asrama mewujudkan sistem pembelajaran lebih teratur dan terancang.
“Peluang pembelajaran lebih luas kerana kami banyak belajar secara berkumpulan dan berkongsi pengetahuan dengan guru pada bila-bila masa, tidak terikat pada waktu persekolahan semata-mata.
“Peluang ini dimanfaatkan pelajar dengan sebaik mungkin dan tidak hairanlah kami mampu menjadi sebahagian daripada kumpulan pelajar yang mampu mencatat keputusan terbaik peperiksaan awam seluruh negara,” katanya.
Pendapat Afiq turut disokong rakannya, Khairul Nadzrin Khairul Zaman yang menyifatkan pelajar tinggal di asrama lebih berdisiplin, berdikari dan bijak menyelesaikan masalah.
“Tiada timbul masalah tinggal di asrama kerana ia dapat membantu pelajar memberi tumpuan yang lebih kepada pelajaran kerana suasananya baik untuk belajar.
“Berbanding pelajar yang tinggal di luar, biarpun bebas mengatur kegiatan atau masa belajar, mereka berdepan dengan kesukaran mendisiplinkan diri untuk belajar,” katanya.
Sementara itu, warden asrama, SSAS, Perumal Ramasamy berkata, asrama boleh disifatkan sebagai rumah kedua pelajar dengan semua penghuninya dilayan seperti anak sendiri dan setiap masalah serta kebajikan mereka diambil berat.
Katanya, pelajar di asrama sentiasa diberi penekanan mengenai kepentingan menepati masa dan mematuhi peraturan bukan bertujuan menyusahkan pelajar, sebalik melatih mereka hidup bersama, sekali gus berjaya dalam pelajaran.
setuju dgn pendapat afiq!
ReplyDelete