22 January 2008

Jaguh Ragbi, Cemerlang Akademik

Oleh Ruhaiza Rusmin

USIA kelab ragbi Sekolah Berasrama Intergrasi Gombak (SBIG), Selangor masih baru namun, kejayaan dicapai cukup membanggakan sekali gus membuka mata pihak lawan.

Walau pun hanya ditubuhkan empat tahun lalu, kemampuannya menundukkan pihak lawan selain beraksi di peringkat antarabangsa sangat mengagumkan.

Kejayaan itu hasil kesungguhan dan komitmen pemainnya yang sentiasa berusaha serta berlatih keras di samping sokongan padu sekolah.

Guru penasihat kelab berkenaan, Suharman Husin, berkata usia penubuhan yang masih baru bukan halangan kepada pemain menunjukkan kemampuan.

Menurutnya, walau pun terpaksa berdepan dengan pihak lawan yang berpengalaman, pemain tidak pernah gentar malah berusaha menunjukkan mutu permainan terbaik.

“Kalau dilihat pada usia, memang kelab ini masih terlalu hijau, namun itu bukan masalah utama pemain menunjukkan persembahan. Yang penting kemahuan tinggi untuk bermain dan berlawan.

“Kalah atau menang itu bukan soalnya. Kami tidak pernah menjadikan usia sebagai sandaran, malah itu juga satu kelebihan kerana pemain tidak akan tertekan dan boleh bermain dengan 'relaks'.

“Bermula daripada kelab tidak dikenali, nama kami meniti dan digeruni di kalangan lawan. Pencapaian itu pasti membanggakan dan menaikkan lagi semangat pemain,” katanya.

Sebagai mekanisme memperbaiki kemahiran, pemain berlatih setiap hari dengan tunjuk ajar jurulatih berpengalaman. Menjalani latihan tanpa jemu, akhirnya memberi kelebihan kelab ini menuai hasil dengan barisan pencapaian mengagumkan.

Antaranya johan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Bawah 15 tahun, naib johan Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) kategori sama, johan MSSN bawah 16 tahun serta terpilih antara lima pasukan sekolah terbaik menyertai jemputan Kejohanan Ragbi Jemputan Antarabangsa ( Cobra) tahun lalu.

Mengenai kejayaan itu, Suharman berkata, terasnya melalui penerapan disiplin tinggi pemain serta minat ditunjukkan sewaktu pemilihan. Pemain mendapat suntikan semangat daripada pelbagai pihak khususnya ibu bapa yang percaya kokurikulum juga mampu menyumbang kelebihan dalam pembentukan jati diri.

“Asas disiplin adalah paling utama ditekankan selain minat menyertai kelab ini dan ia menjadi kriteria utama ditekankan sewaktu pemilihan dibuat. Manakala faktor fizikal bukanlah satu kemestian.

“Sama ada fizikal besar atau kecil itu bukan ukuran kerana setiap posisi ada kelebihannya. Yang utama disiplin sebab kalau tidak, kejayaan seperti hari ini tidak mampu dicapai.

“Usia masih baru, pengalaman juga kurang tapi kami berbangga, dengan semangat yang ditunjukkan, mampu melepasi segala halangan hingga sampai tahap ini,” katanya.

Biar pun aktif menjalani latihan setiap hari, tumpuan pemain terhadap akademik juga dititik beratkan. Pemain yang gagal menunjukkan pencapaian akademik baik, tidak akan diberi peluang menyertai pertandingan.

“Syarat utama ialah perlu tunjukkan pencapaian cemerlang dalam akademik. Kami tidak mahu, kerana asyik bermain mereka melupakan pelajaran.

“Jika pencapaian akademik tidak memuaskan, tiada peluang menyertai mana-mana pertandingan. Itu juga sebagai satu hukuman berbentuk psikologi.

“Pemain tahu tanggungjawab itu, walaupun terpaksa menjalani latihan, penumpuan akademik tetap diutamakan dan pencapaian akademik mereka cemerlang dan konsisten,” katanya.

NAMA SEKOLAH: Sekolah Berasrama Intergrasi Gombak, Selangor
TARIKH DITUBUHKAN: 2003
PENGETUA: Norlia Mohd Suhaili
BILANGAN GURU: 66 orang
BILANGAN PELAJAR: 620 orang

KELAB: Ragbi
GURU PENASIHAT: Suharman Husin
TARIKH DITUBUHKAN: 2003
BILANGAN AHLI: 40 orang

Sumber: Harian Metro

1 comment:

  1. salam...betul 2...sy salah seorang pemain ragbi di SMTG,bersebelahan dgn Integrasi Gombak,04/05. sy yakin dengan sukan kita dpt mempertingkatkan prestasi kita kerana ini telah terbukti dengan munculnya golongan cerdik pandai daripada ahli sukan yang hebat. cuma kepada pihak yang berwajib haruslah menjalankan kewajipan yang seharusnya, dan bijak untuk mendekatkan diri dengan pelajar kerana kejayaan pelajar dalam bidang sukan dan pelajaran bergantung kepada sistem pembelajaran dan pengajaran yang diberikan kepada mereka. diharapkan kecemerlangan dapat diteruskan.

    ReplyDelete