14 October 2009

Bahana Seks Bebas

Islam melarang penganutnya berzina, iaitu melakukan hubungan seks tanpa nikah. Ia juga melarang seseorang itu bertukar-tukar pasangan dan melakukan hubungan seks secara rambang atau bebas.

Setiap perkara dilakukan akan memberi kesan kepada kehidupan kita. Sehubungan itu, berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara adalah jalan terbaik bagi mengelak menyesal di kemudian hari.

Seks bebas adalah perkara yang wajib dielak, sebab itu agama melarang keras kerana dalam perspektif perubatan moden diakui bahawa amalan seks bebas boleh mendatangkan kemudaratan.

Saya menerima banyak persoalan daripada lelaki melakukan seks rambang mengenai kesan dihadapi mereka.

Hakikatnya ialah, gejala atau kesan daripada hubungan seks rambang sukar diduga, terutama jika hubungan itu tidak dirancang.

Kajian menunjukkan hubungan seks mudah berlaku apabila lelaki dan wanita dalam keadaan berdua-duaan dan ketika itu mereka tidak terfikir apa juga kesan daripada tindakan yang bakal dilakukan.

09 October 2009

Filem, Permainan Video Pengaruhi Murid Jadi Ganas

Kementerian Pelajaran mengenal pasti pengaruh filem menerusi wayang dan permainan video menjadi antara penyumbang kepada peningkatan masalah disiplin murid sekolah rendah sepanjang Januari hingga Jun lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata pelajar seawal usia muda itu semakin terdedah kepada keganasan menerusi kedua-dua media berkenaan yang mendorong mereka melakukan kesalahan disiplin di sekolah.

"Pelajar terdedah kepada keganasan termasuk aksi pergaduhan menerusi filem yang mereka tonton.

"Kanak-kanak seawal usia empat tahun sudah didedahkan dengan aksi ganas seperti filem Terminator dan beberapa filem yang mempengaruhi mereka tanpa sedar," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid di kementerian itu di sini, semalam.

Mesyuarat berkenaan dihadiri pegawai kanan kementerian itu, polis, agensi berkaitan, badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan kesatuan guru.

06 October 2009

Musim Peperiksaan Bermula Penentu Masa Depan

Pelajar sekolah terutama mereka yang menuntut di Tingkatan Tiga dan Tingkatan Lima, bermulanya suku keempat persekolahan tahun ini, bukan lagi masa untuk mereka meneruskan aktiviti melepak di sana sini, mahupun giat melakukan aktiviti kokurikulum, sebaliknya perlu menumpu kepada akademik.

Minggu ini, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi pelajar Tingkatan Tiga akan bermula Rabu hingga Selasa depan dan disusuli peperiksaan amali Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada minggu berikutnya, 20 Oktober serta bertulis bermula pada 18 November hingga 16 Disember ini.

Pada waktu ini, pelajar yang bakal menduduki PMR seharusnya sudah selesai menimba sebanyak ilmu pengetahuan terhadap subjek yang dipelajari termasuk latih tubi dan seluruh buku teks sekolah manakala bagi yang akan berdepan dengan SPM seharus menggunakan masa ini untuk membaca, menghafal dan melatih tubi subjek yang dirasakan dirinya masih lemah.

Pada peringkat ini, pelajar PMR mereka hanya perlu buat sedikit lagi latih tubi termasuk mengadakan pembelajaran secara berkumpulan bagi memantapkan pengetahuan dan menghafal yang perlu bagi menjawab soalan subjektif pada waktu peperiksaan nanti.

30 May 2009

Beronani Banyak Kesan Negatif

“Mereka kena sedar diri yang mereka sebenarnya berpenyakit dan perlukan rawatan,” ulas Perunding Motivasi, Prof Madya Md Izuddin Ali, mengenai lelaki muda tempatan mati pucuk akibat perbuatan sendiri.

Menurutnya, perbuatan merangsang nafsu syahwat secara sendirian menerusi aktiviti songsang seperti onani, menonton video lucah dan urut batin berserta khidmat ‘ekstra’ bukanlah langkah bijak sebaliknya mengundang musibah termasuk ketagih.

Katanya, ketagihan terhadap aktiviti negatif langsung tidak memanfaatkan kaum Adam, melainkan cermin kepada pertumbuhan diri di bawah pengaruh psikologi yang kurang sihat dan persekitaran tercemar.

“Orang begini, mereka membesar dipengaruhi perkara negatif... lambakan video dan bahan lucah, memburukkan lagi keadaan ditambah nafsu syahwat yang kuat sekali gus menyukarkan mereka mengawal diri.

“Sepatutnya, mereka mendapatkan rawatan daripada doktor dan pakar, tidak boleh membiarkan diri dibelenggu aktiviti rangsangan negatif kerana boleh merosakkan diri terutama pemikiran akan selalu terganggu dek khayalan fantasi seks.

“Nasihat saya, golongan bermasalah menemui pakar secara 'regular' dan mengikuti fasa rawatan secara berterusan untuk membuang amalan ini...tapi perlu juga berikhtiar mengikut syarak, jangan melanggar hukum Islam,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Md Izuddin yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu, turut menyarankan beberapa langkah untuk mengurangkan tabiat tidak bermoral itu termasuk penekanan nilai agama.

Beliau berkata, lunas Islam menetapkan bagi mereka yang cukup 'syarat' dari segi tuntutan zahir dan batin selain memiliki nafsu syahwat sukar dikawal perlu segera berkahwin bagi mengelak maksiat mahukan perlakuan tidak bermaruah.

“Dalam agama, kalau sudah begini perlu cepat kahwin ataupun mereka kena berpuasa supaya keinginan (nafsu) boleh berkurangan sebabnya bila dalam keadaan lapar atau letih kita tidak fikir ke arah itu (onani, tengok video lucah dan seumpamanya).

“Lagi satu, elakkan menyelongkar bahan lucah di Internet dan sebagainya untuk mengurangkan imaginasi mahupun khayalan bukan-bukan berikutan ini boleh cenderung kita beronani untuk capai kepuasan.

“Selain itu, kurangkan duduk bersendirian sebaliknya lebih banyak bersama kawan melakukan aktiviti positif seperti rekreasi dan bersenam. Kita juga boleh hidup secara sihat kalau amalkan ini,” katanya yang turut menggesa kelompok itu kembali kepada ajaran Islam.

Muka depan Metro Ahad minggu lepas memaparkan ramai lelaki di negara ini berdepan risiko mati pucuk pada usia muda disebabkan menghadapi masalah batin kronik angkara perbuatan sendiri.

Ia berpunca sikap ketagihan melakukan onani, kerap menonton video lucah dan gemar mengunjungi pusat urut batin tidak bertauliah yang menawarkan pelbagai perkhidmatan 'ekstra'.

Lebih membimbangkan perbuatan mereka sebelum berkahwin itu memberi kesan apabila mendirikan rumah tangga, malah ada kes dilaporkan berlakunya perceraian pada malam pertama perkahwinan.

Perbuatan keji itu seharusnya dijauhi kerana ia banyak memberi kesan buruk kepada lelaki yang ketagih serta mengakibatkan si pelaku boleh diserang mati pucuk.

Sumber : Harian Metro (Maiamalina Mohamed Amin)

Reblog this post [with Zemanta]

23 May 2009

Onani Antara Punca Mati Pucuk

Ramai lelaki di negara ini berdepan risiko mati pucuk pada usia muda disebabkan menghadapi masalah batin kronik angkara perbuatan sendiri.

Ia berpunca daripada sikap ketagih melakukan onani, kerap menonton video lucah dan gemar mengunjungi pusat urut batin tidak bertauliah yang menawarkan pelbagai perkhidmatan ‘ekstra’.

Lebih membimbangkan, perbuatan mereka sebelum berkahwin itu memberi kesan apabila mendirikan rumah tangga, malah ada kes dilaporkan berlakunya perceraian pada malam pertama perkahwinan.

Akibat tidak mampu memuaskan nafsu isteri, ada yang terpaksa bergantung kepada alat bantuan seks dan video lucah ketika melakukan hubungan kelamin dan lebih parah, ada yang sanggup membenarkan rakan memuaskan nafsu isterinya sambil dia menyaksikannya.

Pakar sakit tuan, Dr Ismail Thamby, berkata dia menerima sekurang-kurangnya 20 pesakit, 40 khidmat pesanan ringkas (SMS) dan lebih 120 panggilan telefon setiap bulan daripada lelaki yang berdepan masalah membabitkan lemah syahwat.

Menurutnya, lelaki bermasalah itu bukan saja golongan berkahwin tapi ramai juga yang bujang, termasuk yang membuat persiapan untuk berkahwin dalam masa terdekat.

“Ramai lelaki mengalami lemah syahwat akibat terlalu lama bergelumang dengan seks bebas. Ini menyebabkan mereka tidak mampu melaksanakan tugas dengan baik pada malam pertama, biarpun berasakan diri penuh pengalaman.

“Ini kerana ‘seruan malam pertama’ berlainan. Jika gagal melakukan penetrasi, tidak mustahil mereka kecundang dalam cubaan seterusnya,” katanya.

Dr Ismail berkata, di kalangan lelaki yang sudah lama berkahwin pula, ada yang memendam masalah lemah tenaga batin yang mereka alami untuk tempoh terlalu lama sehingga merosakkan rumah tangga masing-masing.

“Ia perkara serius tetapi biasanya individu yang berdepan masalah terbabit sanggup datang selepas lama ‘menderita’, menyebabkan masa berharga terbuang begitu saja,” katanya.

Bagi pengamal perubatan tradisional, Ummul Khanna Mohd Nor, 63, atau lebih dikenali sebagai Bonda, secara purata dia dikunjungi hampir 40 lelaki setiap bulan, yang hampir semuanya mengadu mengalami masalah lemah tenaga batin.

Dia yang berpengalaman 36 tahun dalam bidang urutan tenaga batin berkata, biarpun dia turut berkepakaran memberi rawatan kepada wanita yang menghadapi masalah seksual, sebahagian besar yang mengunjunginya adalah lelaki.

“Rumusan saya, ramai lelaki hari ini terbabit dengan aktiviti seksual sejak remaja. Contoh paling mudah ialah melakukan onani.

“Saya pernah didatangi seorang remaja belasan tahun yang menanggung derita apabila darah keluar dari zakarnya akibat terputus urat saraf. Puncanya, dia mengaku melakukan onani sejak usia lapan tahun.

“Dalam kes lain, seorang remaja berusia 19 tahun mengalami mati pucuk. Apabila saya tanya, dia mengaku melakukan onani sehingga lima atau enam kali sehari sejak usianya akil baligh,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.

Bonda berkata, dia mengkategorikan masalah pesakit kepada empat tahap iaitu pra kritikal yang masih boleh berfungsi tetapi cepat klimaks; kritikal (ada masa boleh berfungsi dan ada ketika tidak); kritikal parah (tidak boleh melakukan hubungan kelamin kerana zakar tiada ereksi) dan mati pucuk.

Sehubungan itu, Bonda menasihatkan remaja supaya memahami kesan buruk akibat memuaskan nafsu sendiri dengan pelbagai cara terlarang.

“Sebenarnya, masyarakat kita kurang ilmu mengenai masalah seksual dan ia sukar dibincangkan kerana malu. Jadi saya berharap remaja mengetahui kesan sampingan akibat perbuatan yang hanya seronok sementara berbanding kesengsaraan berpanjangan,” katanya.

Bonda berkata, pesakit terbarunya ialah lelaki berusia 25 tahun yang bakal mendirikan rumah tangga akhir tahun ini.

Katanya, lelaki itu mengalami masalah alat sulitnya lembik. Selepas diselidik, lelaki yang berkerjaya profesional itu mengaku suka melakukan onani di dalam bilik sambil melayari laman web lucah.

“Sebelum ini seorang pemuda dari Kedah gemar mengunjungi pusat urut yang menawarkan seks oral sejak usianya 20 tahun. Akibatnya dia hampir mati pucuk ketika usia 27 tahun,” katanya.

Menurut Bonda, tindakan memuaskan nafsu dengan cara onani, oral seks atau melakukan hubungan songsang sebenarnya mengundang padah dan kesengsaraan berbanding kenikmatan sementara.

“Sebenarnya onani merosakkan urat saraf dan ini banyak saya temui berlaku pada pesakit saya. Apabila melakukan onani, tangan yang kasar menarik kulit atas dan bawah dan ini menyebabkan struktur kulit longgar atau kendur.

“Ada kulit pesakit saya hampir menutup kepala zakarnya dan menyebabkan ia tidak boleh menegang dengan baik,” katanya.

Bonda berkata, seks oral dan hubungan songsang juga dikhuatiri boleh menyebabkan jangkitan kuman daripada air liur selain ketagih sehingga menyebabkan dengan cara itu saja seseorang mendapat kepuasan.

“Pada usia remaja, golongan ini seronok melakukan pelbagai cara untuk memuaskan nafsu tetapi selepas berkahwin alat sulitnya gagal berfungsi, malah ada yang baru hendak mula, sudah keluar air mani.

“Banyak juga kes diterima di mana suami tidak mampu memuaskan nafsu isteri, malah ada yang tergamak menggunakan khidmat rakan untuk memuaskan isterinya sambil dia jadi penonton.

“Ada juga suami hanya bergantung kepada video lucah untuk menaikkan nafsunya baru boleh melakukan hubungan kelamin dan lebih parah lagi, ada isteri minta cerai apabila suami cepat klimaks,” katanya.

Menurut Bonda, untuk setiap pesakit yang mendapatkan rawatannya, dia menggunakan lima kaedah sebelum memberi rawatan khusus.

“Rawatan bagi masalah batin yang kronik perlu dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali. Pada kali pertama, saya periksa tekanan darah, prostat dan abdomen sambil menyelami punca masalah.

“Selepas itu saya jalankan rawatan mengurut seluruh badan untuk melancarkan perjalanan darah. Kemudian periksa tekanan darah di kelenjar paha, sama ada stabil atau tidak. Jika ada masalah, saya akan betulkan urat saraf dan akhirnya rawatan khusus,” katanya.

Sumber : Metro Ahad (Fuad Hadinata Yaacob dan Nazarali Saeril)

Reblog this post [with Zemanta]

21 May 2009

Sekolah Menengah Kebangsaan St John (SJI) Kuala Lumpur

Sejak ditubuhkan 105 tahun lalu, Sekolah Menengah Kebangsaan St John (SJI) Kuala Lumpur mencatatkan pelbagai kejayaan membanggakan sama ada dalam bidang akademik, sukan dan unit beruniform, malah persatuan alumninya aktif membantu menjana kecemerlangan institusi itu mencapai sasaran menjadi sekolah kluster bertaraf dunia menjelang 2015.

Bermula dengan 70 pelajar sekolah yang dinobatkan memiliki bangunan warisan Kuala Lumpur pada 1986 itu mempunyai kira-kira 1,300 pelajar di bawah kepemimpinan pengetuanya, Peter Yii Sing Chiu.

Beliau berkata, sebagai institusi bantuan modal, SJI sentiasa berusaha mengumpul dana, namun dengan sokongan berterusan Persatuan Alumni St John (SJAA) serta Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), pihaknya dapat membangunkan infrastruktur, selain meneruskan kegiatan sekolah dengan jayanya.

Katanya, antaranya termasuk pembangunan sukan dan kokurikulum membabitkan pancaragam, lawan pedang, memanah, bola sepak, ragbi, bola keranjang dan olahraga.

"SJAA bukan hanya membantu dari segi kewangan, malah menyediakan kelengkapan seperti pakaian, peralatan dan juga jurulatih pancaragam dari Indonesia.

"PIBG pula membantu dari segi pelaksanaan semua kegiatan dijalankan di mana mereka akan menghantar wakil bagi memantau kualiti seterusnya memberi dorongan kepada pelajari," katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Peter berkata, di bawah naungan Pengerusi SJAA, Datuk Zulkifli Ishak dan Yang Dipertua PIBG, Datuk Abdullah Mohaiddin, dua badan itu aktif membantu sekolah melahirkan pelajar cemerlang akademik dan kokurikulum.

"Antara pencapaian dicapai tahun lalu termasuk memenangi pingat perak di Kejohanan Goalball di Sukan Asean Paralimpik di Korat, Thailand, tempat ketiga di Cabaran Perahu Layar Antarabangsa Kelima Optmist Regatta di Labuan dan mewakili Malaysia di Kejohanan Hoki Jemputan Antarabangsa 14 Negara Bawah 16 Tahun di Mannheim, Jerman.

"Kegiatan seperti pidato, bahas, drama Bahasa Inggeris, gimnastik, pancaragam, sukan lompat tali, boling tenpin, golf, skuash serta Pengakap dan Persatuan Bulan Sabit Merah turut menempa kejayaan sama ada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya.

Institusi itu sememangnya terkenal kerana mencatat keputusan cemerlang akademik di kalangan sekolah-sekolah Kuala Lumpur terutama peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Peter berkata, sejak empat tahun lalu, sekolah itu mencatat prestasi memberangsangkan termasuk merangkul Anugerah Pelajar Cemerlang STPM kategori kurang upaya selama tiga tahun berturut-turut sejak 2006.

Bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), peratusan kelulusan sekolah itu juga cemerlang sejak lima tahun lalu di mana 10 hingga 20 calon mendapat semua A, begitu juga peratus kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

"Di peringkat PMR, kami mencatat 29 hingga 40 calon mendapat semua A sejak lima tahun lalu.

"Kami membuat penilaian dalam pengambilan pelajar berdasarkan pencapaian akademik dan kebitaraan sukan.

Sebagai sekolah tertua, warga SJI harus berbangga kerana mempunyai tradisi tersendiri dalam menghasilkan pelajar cemerlang seterusnya bergelar pemimpin negara.

Antara nama besar yang pernah mendapat pendidikan di institusi itu termasuk Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Sumber: Berita Harian

18 May 2009

Gerak Semula Aktiviti Sukan Di Sekolah

oleh Raja Ahmad Zainudin

Saya tertarik dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk pelajar di negara ini agar mempunyai keseimbangan antara pencapaian akademik dan kegiatan kokurikulum khususnya sukan.

Saranan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut mendapat reaksi menarik positif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang memuji Timbalan Perdana Menteri dalam menggerakkan usaha besar-besaran bagi menghidupkan semula aktiviti sukan di sekolah.

Bagi saya, usaha ini tidak boleh dilakukan oleh Kementerian Pelajaran semata-mata atau secara bersendirian, sebaliknya perlu menjalinkan kerjasama rapat dengan pihak lain.

Saya amat bersetuju dengan MOM bahawa banyak faktor perlu diambil kira dalam melaksanakan usaha itu termasuk mendedahkan sekolah dengan sains sukan, memaksimumkan kemudahan sukan di sekolah dan tidak hanya mengadakan karnival sukan setahun sekali sahaja.

Paling penting kementerian perlu menyediakan bajet secukupnya untuk diberikan dalam bentuk elaun kepada guru yang terbabit sebagai dorongan menjadi jurulatih di sekolah.

Apabila kementerian bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi merangka strategi mengembalikan kegemilangan sukan di sekolah-sekolah tidak lama lagi, reaksi kepada cadangan MOM sudah terjawab dan saya sangat mengharapkan usaha itu menjadi kenyataan walaupun ada pihak tidak melihat bakat sekolah sebagai yang penting.

Memang banyak cara lain, termasuk di universiti atau secara khusus melalui keluarga atau badan-badan sukan, tetapi amat wajar Kementerian Pelajaran berganding bahu dengan Kementerian Belia dan Sukan dan jika MOM ikut serta, matlamatnya lebih mudah.

Saya berharap apa yang disebut oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, minggu lalu bahawa dua perkara utama yang akan diberi perhatian oleh jawatankuasa berkenaan ialah kemudahan sukan di sekolah dan guru yang sesuai, menjadi kenyataan dalam tempoh terdekat.

Jika keadaan itu tidak diperbaiki, ia menyebabkan murid akan kehilangan peluang untuk membabitkan diri dalam aktiviti sukan secara meluas. Bagi sekolah yang ada padang, persoalan penting ialah apakah ia sesuai dan boleh digunakan untuk aktiviti sukan.

Sumber : Berita Harian

07 May 2009

Sejarah High School Bukit Mertajam

Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi (SMKT) Bukit Mertajam atau lebih dikenali sebagai High School Bukit Mertajam (HSBM) ditubuhkan 82 tahun lalu iaitu 18 Januari 1927.

HSBM adalah sekolah kerajaan pertama yang diwujudkan di Pulau Pinang (tanah besar) menerima kumpulan pelajar pertama seramai 385 murid daripada pelbagai kaum untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sekolah menengah.

Hari ini, HSBM mempunyai lebih 1,000 pelajar yang menuntut dalam tingkatan satu hingga ke tingkatan enam.

Walaupun rekaan asal bangunan sekolah itu diambil daripada sekolah rendah di Jalan Rangoon, Singapura namun bangunan lama sekolah yang terletak di blok C hari ini dikekalkan.

Ia juga diisytiharkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 14 Mac baru-baru ini sebagai Bangunan Warisan sekolah.

Harold Ambrose Robinson Cheeseman adalah individu yang bertanggung jawab menubuhkan HSBM kerana ketika itu, sebagai Pengarah Pelajaran Tanah Melayu, Harold Ambrose merangka pelan, perancangan dan pengisian sekolah tersebut.

Ketika itu, sekolah hanya menerima murid-murid lelaki sahaja.

Pengetua atau Guru Besar pertama HSBM ialah Edgar De La Mothe Stowell yang berpengalaman luas mentadbir sekolah awam seperti Sedbergh English Public School. Beliau turut terkenal dengan penekanan disiplin yang tinggi di kalangan pelajar yang belajar di sekolah awam.

Bangunan asal sekolah diperbuat daripada kayu, dibina pada 1926 terletak di atas bukit dan menghadap ke Bukit Mertajam dan tiga tahun selepas selesai kerja-kerja pembinaan, bangunan itu dijadikan dewan sekolah.

Ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 sehingga tentera Jepun menyerah kalah kepada British pada tahun 1945, kawasan HSBM dijadikan tempat untuk menempatkan tentera Australia.

Sekolah pula dipindahkan ke kawasan sawah padi di belakang Hospital Daerah Bukit Mertajam. Menjelang 13 Disember 1941, Pulau Pinang dibom dan saban hari, murid-murid sekolah dapat melihat jet pejuang 'Zero Japanese Zero' milik tentera udara Jepun, melintasi ruang udara Bukit Mertajam menuju ke pulau.

Selepas tentera Jepun menyerah kalah pada September 1945, sekolah dibuka semula dan menerima pendaftaran murid-murid yang ingin melanjutkan pelajaran mereka. Sebelum D.K. Swan tiba pada tahun 1946, pemangku tugas guru besar sekolah dilaksanakan oleh Cheong Hong Onn.

Setahun selepas bertugas, D.K. Swan digantikan oleh J.E. Tod yang menggalas tanggungjawab sebagai guru besar HSBM dari tahun 1947 hingga 1950.

HSBM sebenarnya mempunyai bilangan Guru Besar yang ramai sejak ia ditubuhkan.

Dan Pengetua HSBM hari ini ialah Mohd. Ghazali Abu Bakar. Selain Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang pernah belajar di HSBM, bekas Ketua Polis Malaya dan Singapura, Tun Mohd. Salleh Ismail, juga pernah menuntut di sekolah tersebut.

Sumber : Utusan Malaysia

05 April 2009

Cerita SBP; Kejatuhan Sahsiah Dan Akademik

Mungkin satu ketika dulu kita budak-budak SBP ni mesti perangai and pelajaran always tiptop. Tapi aku rasa sangkaan tu dari tahun ke tahun makin meleset. Aku bercakap bukan daripada cerita orang tapi as an ex-SBPian student benda ni memang betul pun. Pelajaran dari sehari ke sehari bukan makin elok tapi makin merosot. Samalah jugak dengan attitude makin teruk. Tapi tak semua la kan, only for certain person.

Kat sini aku bagitau kenape pelajaran boleh merosot. Firstly adalah sikap korang sendiri. Cuba fikir, betul tak? kalau korang tak malas takdenye ko dapat G9 for Add Math or worse Pendidikan Islam. Jangan suka ikut kawan yang malas-malas tu. Aku tahu mesti korang fikir camni "ala x payah buat la, diorang pun tak buat jugak". Time ni la ko nak tunjukkan kat sikgu korang yang korang ni x malas macam budak-budak tu. You are way much better than them!!

Secondly, jangan la tidur dalam kelas. Kalau dah mengantuk sangat pergilah basuh muka or kunyah la something(gula-gula ke). Fikir la kalau dah tidur dalam kelas, macam mane nak concentrate or faham ape yang your teacher ajar kat depan tu. Lagi satu kalau tido macam mane ilmu tu nak dapat semua yang cikgu ajar. Faham separuh2 nanti exam pun jawab la half2 je...

Selain itu yang paling penting sekali is berkat restu from guru tu sendiri. Bayangkanlah kalau dah korang kurang ajar dengan cikgu macam mane ilmu tu nak melekat kat kepala tu. Cikgu nak bagi ilmu pun macam acuh tak acuh je. Kalau ko sorang je yang effeect x pela tapi ni kang satu kelas yang menderita. Sebosan manapun kelas cikgui tu ikhlas kan hati untuk belajar, insyaALLAH Tuhan akan tolong kita faham.

Bukan itu je, budak SBP ni pun agak terkenal la dengan attitude problem. Satu punca yang aku perhatikan berlakunya masalah ni adalah semangat senioriti yang teramatlah 'tebalnya'. Ha lepas tu mulalah terjadinya kes-kes buli yang teruk-teruk tu. Aku akui aku pun pernah buli budak gak tapi biar beragak coz dia tu pun manusia jugak.

Satu punca lain yang menyebabkan kelemahan sahsiah diri budak2 SBP is pengaruh kawan. Ape kawan buat dia pun ikut buat kalau benda baik takpelah ni benda buruk pun ikut buat jugak. As an example, best friend kita smoke so as a best friend kita pun kenalah follow die jugak. Ni dah salah, patutnya kita yang nasihatkan die. Betul tak???

Semua masalah ni boleh kita atasi kalau kita tahu macam mane caranya. Aku nak kongsi sikit cara nak atasi semua masalah ni, first thing is kita kena kenal diri masing2. Kenal kelemahan dan keburukan masing2. Lepas dah tahu semua tu barulah boleh kita nak ubah diri kita ni. Dengan itu setiap kelemahan diri dapatlah diatasi dengan cara yang betul. Tapi mesti ingat setiap manusia memang takde yang sempurna!!

Selain tu untuk masalah pelajaran pulak, bolehlah start dengan kenalpasti mana subject yang lemah. Pastu focus more untuk subject tu, tapi jangan lupa subject2 yang lain. Study untuk subject yang lain jugak. Biar seimbang untuk semua subject.

Kita juga kena belajar untuk jangan bergantung dengan orang lain. Biar apa pun yang kita buat datangnya daripada usaha kita sendiri. Kalau kerja tu atas daya usaha orang lain, kalaupun siap mesti korang tak rase kepuasan hati. Kita cuma rasa lega sebab homework dah siap tapi tak rase lega untuk usaha yang kita keluarkan untuk kerja tu.

Belajar lah juga untuk membuat keptusan sendiri, jangan mengharapkan orang lain untuk membuat keputusan untuk kita. Walaupun kadang2 keputusan yang kita buat tu salah tapi ini akan membantu kita untuk belajar daripada kesilapan. Tapi jangan lupa minta nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman untuk membantu kita membuat keputusan yang lebih tepat.

Ini sekadar perkongsian pengalaman yang ingin aku kongsi bersama para pembaca. Sebarang salah atau tersinggung harap dimaafi.

Wassalam...

Reblog this post [with Zemanta]

29 March 2009

Wajarkah Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik(PPSMI) Di Teruskan?

PPSMI telah termaktub dalam pelajaran hasil keputusan dasar kerajaan Malaysia hasil Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002. Namun begitu pelaksanaan dasar pembelajaran baru itu mula dilaksanakan dengan perintisnya pelajar murid Tahun 1 untuk peringkat Sekolah Rendah manakala Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 rendah untuk peringkat Menengah pada tahun 2003. Pelaksanaan penuh PPPSMI ialah pada tahun 2007 bagi peringkat Sekolah Menengah dan tahun 2008 bagi peringkat Sekolah Rendah.ppsmi

Pihak kerajaan mengatakan rasionalnya penukaran bahasa pengantar bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris adalah dasar keperihatinan mereka terhadap pembangunan sumber amnusia dalam era globalisasi untuk mencapai taraf negara maju setanding dengan negara-negara dunia pertama.

Selain itu semua sedia maklum bahawa matapelajaran Sains dan Matematik menjadi asas dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Acapkali ada saja penemuan baru dan inovasi dalam bidang tersebut, dan semua ini hanya boleh didapati dalam versi Bahasa Inggeris. Tambahan pula Bahasa Inggeris telah menjadi bahasa perhubungan antarabangsa jadi ini secara tidak langsung akan mempercepat perolehan maklumat dalam bidang ini.

Kesimpulannya, dengan terlaksananya dasar PPSMI ini maka pelajar-pelajar dapat bertambah maju dalam bidang Sains dan Matematik ini kerana sebahagian besar sumber bagi kedua-dua bidang ini ialah Bahasa Inggeris. Memang cukup membanggakan pencapaian ini jika dasar ini dapat dicapai oleh semua pelajar di seluruh pelusuk negara. Apa yang kita kerap kali dengar atau lihat di media massa kini hanyalah pandangan daripada sebelah pihak, bagaimana dengan mereka yang menghadapi kesukaran dengan terlaksananya dasar baru ini.

Oleh itu kajian yang “lebih” jujur dan tidak berkepentingan oleh pelbagai pihak termasuk oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron dan kajian Prof. Dr. Norhashimah Jalaluddin di bawah payung UKM-DBP misalnya menunjukkan pelajar-pelajar di bandar dan daripada keluarga berpendidikan tinggi mendapat manfaat dan kepentingan melalui dasar ini manakala majoriti yang menjadi mangsanya adalah Melayu kerana 70% mereka ini ialah penduduk luar bandar. Tambahan lagi jurang antara penduduk bandar dan luar bandar akan melebar.Photobucket

Pernahkah kita terfikir Dalam tahun 60-an Kerajaan telah “mengusir” keluar tulisan jawi daripada bilik darjah. Akibatnya 40 tahun kemudian akhbar tulisan jawi menjadi tidak lagi berdaya maju, menjadi sisipan saja kepada akhbar tulisan rumi. Sekarang kerajaan sekali lagi “mengusir” keluar bahasa Melayu daripada bilik darjah “sains dan teknologi”. Kemungkinan besar 40 tahun lagi akhbar berbahasa Melayu tidak akan berdaya maju dan akan menjadi sisipan saja kepada akhbar Inggeris dan Mandarin. Pada waktu itu bahasa Melayu bukan lagi bahasa ilmu dan budaya tinggi. Sejarah akan mendera kita lagi.

Dalam satu kajian yang lain keputusan menunjukkan dasar PPSMI ini hanya mencatatkan sedikit sahaja peningkatan iaitu hanya sebanyak empat peratus sahaja. Selain itu dasar ini juga mengakibatkan para pelajar hilang rasa minat terhadap pelajaran Sains dan Matematik.

Apa pendapat anda para pembaca? Patutkah PPSMI diteruskan ataupun dimansuhkan. Semua ini bergantung kepada pendapat peribadi masing-masing.

16 February 2009

Semashur SBP Terbaik PMR 2008

Tergolong dalam kelompok sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (Semashur), Batang Kali, memikul tanggungjawab besar dalam melonjakkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum.

Tanggungjawab itu disedari pihak pengurusan mahupun pelajar, sekali gus meningkatkan semangat dan komitmen mereka untuk berusaha menonjolkan keupayaan dalam pelbagai bidang.

Semashur buat julung kalinya melakar sejarah dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008 apabila 134 daripada keseluruhan 153 calon mendapat semua A dalam peperiksaan itu.

Lebih membanggakan, pencapaian itu meletakkan Semashur di tempat teratas dalam kelompok SBP seluruh negara.

Pengetuanya, Nor Paizin Ibrahim, berkata sekolah itu berjaya mendapat pencapaian gred purata keseluruhan 1.02 peratus.

“Perkembangan ini membuktikan keupayaan Semashur mencapai visi sebenar menjadi pusat pendidikan terbilang menjelang 2010 menjadi realiti, lebih awal daripada yang dirancang.

“Sejak dibuka pada 2000, warga sekolah ini optimis mencapai kecemerlangan dalam semua aspek termasuklah bidang akademik ini.

“Pelbagai usaha dilakukan termasuk penganjuran 17 program akademik untuk meningkat kecemerlangan,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, antaranya seminar belajar, teknik menjawab soalan peperiksaan yang dianjurkan dengan kerjasama sisipan SKOR terbitan Berita Harian, program mentor mentee, kem belajar, program 'guru muda' dan homestay di SBP pilihan.

Bangga dengan pencapaian PMR tahun lalu, beliau berkata, pihaknya turut mensasarkan pencapaian terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 setelah menjalankan pelbagai program pemantapan sepanjang tahun lalu.
“Selain akademik, pencapaian sekolah dalam bidang kokurikulum juga menyerlah bukan saja di peringkat kebangsaan, malah global.

“Sekolah ini sinonim sukan ragbi sejak 2002 dengan kejayaan muncul johan pertandingan ragbi peringkat daerah, negeri, malah pernah menjuarai di peringkat kebangsaan.

“Tahun lalu, kita menjadi juara Kejohanan Ragbi Piala SBP, Piala Terbuka kategori Plate Sekolah Menengah Sultan Alam Shah, Piala Sekolah Primier kategori Cup , Kejohanan Ragbi Terbuka Universiti Kebangsaan Malaysia kategori Plate , Kejohanan Cross Straits Bawah 15 tahun kategori Plate dan Kejohanan Cross Straits Bawah 14 tahun kategori Cup (naib johan),” katanya.

Beliau berkata, pasukan ragbi sekolah juga didedahkan di peringkat antarabangsa menerusi penganjuran perlawanan persahabatan dengan empat sekolah di Singapura pada 13 hingga 15 Februari tahun lalu, sebagai persediaan menyertai kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia tahun ini.

Selain itu, Paizin berkata, Semashur juga menyerlah dalam pertandingan catur apabila menjuarai kategori individu Kejohanan Terbuka Sekolah Alam Shah dan Catur Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (naib johan) dan Kejohanan Catur kategori negara Asean (individu, tempat ke - 11).

Dalam sukan bola keranjang, pasukan sekolah itu berjaya dinobatkan sebagai juara Kejohanan Bola Tampar (MABA) Petronas-SBP 2008.

“Pembabitan pelajar dalam kegiatan kokurikulum sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa sejajar dengan matlamat memakmur dan mengantarabangsakan sekolah.

“Saya turun padang memantau pelajar agar mereka tidak lari dari matlamat asal mereka ditempatkan di sekolah ini. Ketegasan penting dalam merencanakan sesuatu kejayaan berharga kepada sekolah,” katanya.

Katanya, antara rahsia kejayaan sekolah adalah melaksanakan sistem 'kelas tahanan' kepada pelajar yang gagal menyiapkan tugasan seharian. Pelajar berkenaan tidak dibenarkan melakukan kegiatan lain sehinggalah kerja mereka selesai.

FAKTA: Sekolah Semashur
  • Dibuka pada 16 Jun 2000
  • Mempunyai 68 guru, 22 staf sokongan dan 774 pelajar
  • Pencapaian terbaik dalam PMR 2008 dengan 88.58 peratus calon memperoleh semua A
  • Menyerlah dalam sukan ragbi dan catur.
Sumber : Berita Harian


Reblog this post [with Zemanta]

15 February 2009

4,300 Pelajar Tingkatan 4 Daftar Di 54 SBP

Peluang melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama penuh (SBP) adalah detik bersejarah kepada 4,300 lulusan cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang ditawarkan memasuki tingkatan empat di sekolah berkenaan, tahun 2009.

SBP logoImage via Wikipedia

Proses pendaftaran pelajar terbabit berlangsung serentak di 54 SBP seluruh negara, 10 Februari 2009 Selasa lalu.

Tinjauan Berita Harian di Sekolah Menengah Sains Seri Puteri (Seseri), Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur mendapati pendaftaran bermula seawal jam 8 pagi lancar termasuk sesi taklimat yang turut dihadiri ibu bapa pelajar terbabit.

Pengetua Seseri, Zuraidah Mohamad, berkata pelajar dan ibu bapa didedahkan dengan persekitaran dan pencapaian sekolah termasuk akademik, kokurikulum serta hal ehwal pelajar.

Selain guru, katanya, proses pendaftaran dibantu pelajar senior yang berperanan sebagai ‘house sister’ kepada setiap pelajar baru.

“Kita ingin biasakan pelajar baru dengan persekitaran sekolah dengan cepat dan itulah peranan yang dimainkan setiap house sister yang dipilih.

“Pengisian lain termasuk peraturan sekolah dan asrama, sistem pembelajaran dan pengenalan subjek yang didedahkan menerusi Minggu Asimilasi selama dua minggu bermula kelmarin,” katanya.

Turut sama melakukan pemantauan ialah Timbalan Pengarah, Bahagian Pengurusan Sekolah Kluster dan SBP, Kementerian Pelajaran, Norlia Mohd Shuhaili.

Pelajar Nuruljannah Mohd Shaffie dari Ipoh, berkata tawaran ke SBP sememangnya ditunggu-tunggu selepas mencatat keputusan cemerlang 8A dalam PMR, tahun lalu.

“Seseri adalah SBP pilihan saya kerana sekolah ini telah melahirkan ramai nama besar dalam pelbagai bidang.

“Saya bangga belajar di sekolah ini dan biarpun segala-galanya masih baru, saya yakin mampu berdepan suasana tinggal di asrama termasuk persaingan sihat bersama rakan lain,” katanya.

Sementara itu, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Choh, Rawang, Selangor Nur Amalina Abdul Malik, pula mengakui tidak sabar untuk memulakan pembelajaran.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga, dia tidak akan menjadikan faktor itu sebagai halangan, sebaliknya penguat semangat dalam mengejar kejayaan.

“Pengorbanan ini besar ertinya bagi saya. Jasa ibu bapa perlu dibalas dengan kecemerlangan. Di sini juga saya akan belajar berdikari dalam semua perkara,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Reblog this post [with Zemanta]