21 August 2008

TKC - Kolej Tunku Kurshiah

Terkenal dengan kejayaan melahirkan pelajar perempuan cemerlang negara, Kolej Tunku Kurshiah (TKC) terus mengorak langkah memperkukuh tiga kebitaraannya iaitu kepemimpinan pelajar, kepelbagaian bahasa (bahasa ketiga) serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Dari aspek kepemimpinan, TKC memupuk barisan pelapis menerusi pelbagai persatuan, kelab dan kemuncaknya pemilihan pemimpin tertinggi yang memerlukan pilihan raya kecil peringkat kolej berkenaan.

Pada pilihan raya kecil diadakan Ogos setiap tahun, pelajar Tingkatan Empat akan mengambil alih teraju kepemimpinan pelajar sekolah menggantikan senior mereka di Tingkatan lima yang menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Jika sebelum ini proses pemilihan hanya melalui cadangan, ucapan umum dan undian rahsia seperti pilihan raya sebenar, bermula tahun ini, senarai calon bakal menjawat ketua pelajar, timbalan dan sebagainya disenarai pendek untuk ditemu ramah wakil guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Persatuan Pelajar Tua.

Temu ramah seumpama adalah yang pertama dijalankan untuk pemilihan pemimpin peringkat sekolah di negara ini. Pelaksanaannya dibuat selepas Pengetua TKC, Che Kamaliah Endud, mendapat idea ketika melawat dua sekolah di London bersama pengetua sekolah kluster, Februari lalu.

Selain di sekolah, Che Kamaliah berkata, pelajar TKC juga dilatih berfikir menjadi pemimpin peringkat antarabangsa dengan menganjurkan Forum Unesco yang memerlukan pelajar memainkan peranan sebagai wakil negara anggota pertubuhan itu.

Mereka membincang dan menghujahkan isu global yang memerlukan banyak kajian persediaan dilakukan terhadap kerajaan negara diwakili.

Tahun ini, katanya, banyak aktiviti pelajar kolej itu dilaksana membabitkan ketiga-tiga kebitaraan, antaranya menerima kunjungan duta Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie dan isterinya, Yoko Horie serta dua sekolah dari Jepun dan Korea Selatan.

“TKC sering menerima kunjungan sekolah angkat kami seperti Akashi Nishi Senior High School , Hyugo, Jepun; Raffles Girls College, Singapura.

“Begitu juga beberapa sekolah lain antaranya Seoul National University Girls High School, Korea Selatan serta dari Indonesia dan Thailand menerusi program pengantarabangsaan dan pertukaran budaya.

“Pelajar kami akan berbahasa Jepun ketika lawatan Akashi Nishi High School kerana ia bahasa ketiga paling aktif di kolej ini, selain bahasa Perancis dan Arab. Selain itu, kami juga mengadakan perhimpunan dalam bahasa ketiga setiap Jumaat secara bergilir,” katanya.

Dalam bidang R&D pula, Che Kamaliah berkata, pelajar TKC berjaya menghasilkan ubat pencegah ulser perut menggunakan akar pokok kadok, yang turut memenangi pertandingan Inovasi Sains peringkat kebangsaan pada 2007 dan ketiga kategori berkumpulan Pertandingan Kejuruteraan Sains Antarabangsa Intel di Atlanta, Amerika Syarikat.

“Kami juga banyak memenangi pertandingan lain sama ada peringkat negeri mahupun kebangsaan, antaranya mereka laman web bertajuk Penyu; Spesies yang Terancam anjuran Think.com, Formula 1 dan perangkap tikus tanpa menggunakan umpan.

“R&D menjadi ‘darah daging’ dalam setiap aktiviti dijalankan di kolej ini. Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) pula dianggap seperti pen dan kertas kerana sebelum sesuatu aktiviti dijalankan pelajar akan membuat kajian, kemudian dipersembahkan menggunakan ICT,” katanya.

Selain kecemerlangan akademik, beliau berkata, kokurikulum pelajar kolej itu juga diberi penekanan dan pencapaian setakat ini membanggakan.

Dengan pelbagai kecemerlangan itu, tidak hairanlah jika TKC mampu melahirkan ramai pemimpin wanita berwibawa, antaranya Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalill, Puan Seri Fauzah Mohd Darus, Datuk Dr Mazlan Othman, Datin Paduka Marina Mahathir, Datuk Rafiah Salim, Datuk Prof Dr Nik Safiah Karim, Datuk Dr Norlaily Abu Bakar, Datuk Ilani Ishak dan Prof Dr Adibah Kamarulzaman.

Info Kolej Tunku Kurshiah
  • Nama asalnya Malay Girls College ditubuhkan pada 1947 yang terkenal dengan penguasaan bahasa Inggerisnya, adalah sekolah berasrama penuh pertama khusus untuk perempuan dan kedua tertua di negara ini.
  • Terkenal dengan prestasi cemerlang dalam pelbagai bidang disertai pelajar sama ada secara individu atau berkumpulan.
  • Menukar nama kepada TKC sempena nama Raja Permaisuri Agong pertama, Almarhum Tunku Puan Besar Kurshiah selepas berpindah dari kampus asalnya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, ke Seremban pada 1962.
  • Dipilih sebagai sekolah berasrama penuh terbaik kokurikulum untuk tempoh lima tahun berturut-turut hingga 2007.
  • Sekolah nombor satu dalam keputusan PMR 2007 dengan tiga subjek semua A iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah.

17 August 2008

Pertandingan Pidato Piala Di Raja

Pertandingan Pidato Piala Di Raja peringkat kebangsaan telah disempurnakan pada 14 Ogos 2008. Walaupun pertandingan kali ini tidak dibiayai melalui peruntukan sambutan kemerdekaan negara, namun acara tersebut diteruskan kerana pertandingan-pertandingan di peringkat daerah dan negeri telah dilaksanakan, dan dalam masa yang sama persediaan pertandingan di peringkat kebangsaan telah pun dilakukan. Kementerian Pelajaran melaksanakan pertandingan ini dengan mengguna peruntukan sedia ada.

Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong telah berangkat menyaksikan pertandingan. YB Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Pelajaran danYB Dato’ Shafie Apdal, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Bulan Kemerdekaan, turut hadir di majlis pertandingan. Kali ini pertandingan telah menampilkan kehebatan muriddari Maktab Tentera DiRaja, adik Arif Azali bin Azman yang muncul johan bagi kategori sekolah menengah, dan SK Sungai Binjai, Meru, Klang, adik Aireena Yasmin bt. Adeli, johan bagi kategori sekolah rendah.

Seramai 32 orang murid telah layak bertanding di peringkat kebangsaan. Pertandingan di pusingan separuh akhir telah diadakan pada 11 Ogos 2008 di Hotel Empress, Sepang, Selangor. 3 peserta terbaik dari setiap kategori sekolah menengah dan rendah bertanding di pusingan akhir.

Reblog this post [with Zemanta]

14 August 2008

SSAS Sekolah Sultan Alam Shah

Dalam usaha melonjakkan kecemerlangan, Sekolah Sultan Alam Shah (SSAS), Putrajaya sudah memanfaatkan kira-kira 87 peratus daripada sebahagian peruntukan khas RM500,000 Sekolah Kluster yang diagihkan Kementerian Pelajaran pada Mac lalu.

Sekolah Sultan Alam Shah
Pengetuanya, Mohamad Kamaludin Taib, berkata bajet itu untuk membiayai Pasukan Orkestra SSAS yang mengambil bahagian pada pertandingan Wind Orchestra sempena Singapore International Band Festival di Singapura, Julai lalu.

Katanya, pelaburan itu berbaloi apabila SSAS memenangi Anugerah Perak setelah tersenarai antara empat pasukan terbaik daripada 18 pasukan yang mengambil bahagian, sekali gus melakar sejarah kemenangan sulung pasukan itu pada peringkat global.

Namun, kesempatan pasukan SSAS mendapat tunjuk ajar daripada pelatih orkestra antarabangsa menerusi sesi bengkel sempena pertandingan itu adalah pengalaman berharga yang tiada bandingannya dengan pengiktirafan diterima.

“Kementerian Pelajaran mengagihkan sebahagian daripada peruntukan khas kepada kumpulan pertama 30 sekolah kluster termasuk SSAS pada Mac lalu dan kami memanfaatkannya untuk membangunkan empat bidang kebitaraan disenaraikan dalam Kertas Cadangan Sekolah Kluster SSAS.

“Antaranya mengantarabangsakan pasukan orkestra SSAS dengan meluaskan penyertaan ke pertandingan Wind Orchestra peringkat global setelah kejaguhan pasukan itu terbukti di peringkat tempatan dengan mencatat kemenangan tiga tahun berturut-turut mulai 2005 hingga tahun lalu.

“Sempena pertandingan itu, peserta turut menghadiri bengkel bersama jurulatih ternama Wind Orchestra yang menunjukkan kaedah meningkatkan mutu persembahan peserta. Ciri nilai tambah yang ada dalam pertandingan peringkat antarabangsa seumpama inilah yang menyebabkan ia dijadikan indeks prestasi utama penilaian sekolah kluster,” katanya.

Mohamad Kamaludin, berkata peruntukan itu turut dimanfaatkan tiga lagi bidang kebitaraan sekolah itu iaitu sukan ragbi, kegiatan Bahasa Inggeris dan Matematik Tambahan.

Katanya, bagi memastikan pasukan ragbi sekolah itu terus digeruni di peringkat Wilayah Persekutuan dan seterusnya mencatat kejayaan peringkat kebangsaan, latihan pasukan pelapis pelajar Tingkatan Satu hingga Lima diadakan secara berterusan dan kemudahan peralatan gimnasium.

Beliau, berkata pembabitan pelajar SSAS dalam kegiatan berbahasa Inggeris dimantapkan dengan memperluaskan penyertaan terutama dalam pertandingan drama serta debat bagi membudayakan penggunaan bahasa kedua itu di kalangan pelajar sekolah berkenaan.

“Pemilihan Matematik Tambahan sebagai bidang kebitaraan pula bertujuan meningkatkan penguasaan pelajar bagi subjek itu menerusi penyertaan dalam pertandingan seperti Olimpiad Matematik supaya mereka tidak ‘fobia’ terhadapnya,” katanya.

Mohamad Kamaludin, berkata sesuai pemilikan lima status iaitu Sekolah Berasrama Penuh (SBP), SBP Premier, Sekolah Kluster, Sekolah Bestari dan Sekolah Showcase, SSAS tidak mudah berpuas hati dengan empat bidang kebitaraan, malah, bercadang menempa kejayaan dalam sukan mendayung sebagai satu lagi tambahan usaha melonjakkan kecemerlangan sekolah berkenaan.

“Surat cadangan dan permohonan peruntukan untuk menjadikan sukan mendayung sebagai bidang kebitaraan kelima sudah dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran untuk kelulusan.

“Sementara menunggu kelulusan itu, latihan pasukan mendayung kami yang aktif menyertai pelbagai pertandingan kini sudah mula menjalankan latihan setiap hari Sabtu di Kelab Tasik Putrajaya di bawah bimbingan Persatuan Mendayung Malaysia,” katanya.

Sejarah SSAS
  • 7 Februari 1963: Penubuhan Sekolah Alam Shah
  • 26 April 2003: Perpindahan sekolah dari Bandar Tun Razak ke Putrajaya
  • 25 Mac 2006: Pertukaran nama daripada Sekolah Alam Shah kepada Sekolah Sultan Alam Shah
  • 7 Ogos 2006: SSAS dijadikan sekolah naungan Sultan Selangor
  • 30 Mac 2007: SSAS diisytihar sebagai Sekolah Kluster Cemerlang.

Reblog this post [with Zemanta]